KOTA BHARU: Kesesakan di wad perubatan dan pediatrik melibatkan hospital pakar di negeri ini berpunca daripada jumlah peningkatan ketara kemasukan pesakit.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan, Datuk Dr. Zaini Hussin berkata, peningkatan ketara itu dikesan berlaku bermula bulan ini apabila penggunaan katil di wad-wad hospital tersebut melebihi kapasiti.
“Hal ini menyebabkan waktu menunggu pesakit untuk dimasukkan ke dalam wad meningkat sehingga melebihi empat jam.
“Bagaimanapun, kita mengambil langkah-langkah untuk menangani segera masalah berkenaan bagi meningkatkan keberkesanan perkhidmatan perawatan pesakit di negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan bagi menjawab isu tersebut yang tular dalam laman sosial Facebook, sejak semalam.
Semalam, tular sekeping gambar dan status berkait isu kesesakan di wad Pediatrik Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) yang mendapat reaksi orang ramai.
Zaini memberitahu, pihaknya akan berusaha mengoptimumkan penggunaan katil di hospital-hospital di negeri ini dengan mewujudkan koordinasi katil berpusat dan koordinasi rujukan secara ‘zoning’ bagi mengurangkan rujukan ke HRPZ II.
Katanya, jabatan kesihatan negeri akan menukar wad-wad di hospital daerah di seluruh negeri ini yang mempunyai bilangan pesakit yang rendah kepada wad multidisiplin bagi menampung pertambahan bilangan pesakit.
“Selain itu, bilangan katil di hospital daerah serta mobiliti kakitangan dari hospital-hospital di negeri ini ditingkatkan untuk pengoperasian di wad-wad tambahan baharu. Kita juga tidak menolak kemungkinan akan mencadangkan pengoperasian semula Hospital Kuala Krai bagi mengatasi masalah ini,” ujarnya. – UTUSAN