KUALA LUMPUR: Perodua Alza serba baharu yang dilancarkan secara rasmi hari ini menerima lebih 30,000 tempahan sejak tempahannya dibuka 23 Jun lalu.
Kenderaan itu dijual secara rasmi pada harga antara RM62,500 dan RM75,500, dalam tiga varian, X, H dan AV.
Perodua Alza baharu itu menyediakan ruang yang lebih luas untuk penumpangnya dan pada masa yang sama meningkatkan kestabilan pemanduan kerana kenderaan pelbagai guna (MPV) itu direka khusus untuk pemandu dan jalan raya Malaysia.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan amat berbangga dengan kejayaan yang dicapai Perodua yang kini merupakan syarikat automotif nasional utama negara sejak 2006 dan menjadi jenama buatan tempatan dipercayai dalam kalangan Keluarga Malaysia.
Katanya, usaha yang dilaksanakan Perodua juga harus menjadi contoh syarikat-syarikat tempatan lain di mana kepentingan negara didahulukan demi kesejahteraan semua.
“Berdasarkan laporan media massa mengenai model Perodua Alza serba baharu ini, saya amat tertarik dengan ciri-ciri canggih yang ada padanya dengan penambahbaikan ketara dari segi keselesaan pemanduan dan lebih versatil.
“Saya percaya model baharu ini akan diterima baik oleh seluruh Keluarga Malaysia kerana harganya yang kompetitif dan aspek keselamatannya dipertingkatkan sesuai dengan aspek pemanduan di Malaysia,” katanya ketika merasmikan majlis pelancaran kenderaan itu di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini.
Dalam pada itu, Perdana Menteri berharap, Perodua dapat mencari peluang untuk memasarkan produk-produknya hingga ke peringkat antarabangsa.
“Saya mengambil maklum kenderaan keluaran Perodua kini bertapak di enam buah negara dan saya yakin jumlah eksport itu mampu dipertingkatkan pada masa akan datang.
“Kerajaan juga bersedia membantu pihak Perodua untuk meluaskan pasaran sedia ada dan membantu mencari pasaran baharu.
“Saya berharap Perodua akan terus mempertingkatkan kebolehan pengeluarannya sekali gus mencapai skala ekonomi yang kompetitif setaraf dengan syarikat-syarikat asing di rantau ini,” jelas beliau.
Sementara itu, Pengerusi Perodua, Tan Sri Asmat Kamaludin berkata, model baharu yang dicipta itu selari dengan kehendak ramai kerana Perodua amat menitikberatkan keperluan dan suara pelanggan.
“Kami telah melabur RM770 juta untuk menghasilkan model baharu yang dibangunkan bersama rakan kongsi Arkitertur Global Baharu Daihatsu (DNGA) untuk memastikan ciri yang ditawarkan adalah terbaik dalam kelasnya.
“Saya percaya model ini bakal beri impak besar dalam segmen MPV termasuk harga, ciri keselamatan, tahap teknologi tinggi dan kos penyelenggaran yang kompetitif.
“Kepada mereka yang telah menempah, anda akan mula menerima unit mulai hari ini. Terima kasih atas kesabaran anda dan kami harap anda terus beri sokongan kepada kami,” jelasnya. – UTUSAN