KUALA LUMPUR: Permohonan injunksi interim (sementara) yang dimohon oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi terhadap bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang sepatutnya didengar hari ini ditangguhkan ke 8 Ogos ini.
Menurut peguam Baharudeen Mohamed Ariff yang mewakili Ahli Parlimen Bagan Datuk itu, pendengaran itu dijadualkan semula ekoran defendan, Muhyiddin baru memfailkan afidavit tambahan pada 6 Julai lalu.
Permohonan injunksi interim itu sepatutnya didengar oleh Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Rozana Ali Yusoff.
“Mahkamah memerintahkan plaintif (Ahmad Zahid) untuk memfailkan afidavit balasan sebelum atau pada 22 Julai ini. Pendengaran permohonan akan didengar pada 8 Ogos ini melalui aplikasi Zoom,” katanya ketika dihubungi media selepas tamat prosiding yang dijalankan secara atas talian.
Pada 4 April lalu, Ahmad Zahid memohon perintah injunksi interim untuk menghalang Muhyiddin, pegawai dan pembantunya serta ejen dan wakilnya daripada mengeluarkan, menerbitkan, mengedarkan atau menyebarkan fitnah berhubung dakwaan bekas timbalan perdana menteri itu meminta bantuan untuk menyelesaikan atau menangguhkan perbicaraan kes jenayah yang masih berjalan di mahkamah.
Menurut pernyataan tuntutan yang difailkan pada tarikh sana, Ahmad Zahid mendakwa Muhyiddin telah mengeluarkan kenyataan fitnah dengan niat jahat terhadapnya pada majlis Pentas Perikatan Nasional Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenggaroh, Mersing sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-15 di pekarangan Learning Centre Sentuhan Kasih Felda Tenggaroh 3 di Mersing pada 16 Februari lepas.
Beliau mendakwa, pada hari yang sama rakaman video mengenai kenyataan fitnah pada majlis itu telah diterbitkan semula secara langsung di akaun YouTube Astro AWANI yang dikendalikan oleh portal berita dalam talian popular iaitu Astro AWANI berdurasi dua jam 35 minit dan lapan saat (2:35:08) yang boleh diakses melalui internet.
Ahli Parlimen Bagan Datuk itu mendakwa kenyataan fitnah itu antaranya membawa maksud bahawa beliau telah menggunakan jalan pintas untuk menyelesaikan dan menangguhkan perbicaraan kes jenayahnya yang masih berjalan, meminta pertolongan Muhyiddin untuk mencampuri urusan perbicaraan kes berkenaan, mencampuri sistem kehakiman, mengarahkan pembubaran Dewan Undangan Negeri Johor dan bukan seorang pemimpin yang patut dihormati, diteladani serta disegani.
Oleh itu, plaintif menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk dan teladan, faedah, serta perintah mengarahkan defendan menerbitkan permohonan maaf yang tidak bersyarat secara bertulis di surat khabar yang akan ditentukan oleh plaintif selain menuntut kos dan lain-lain perintah yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.
Ahmad Zahid turut memfailkan saman serupa terhadap seorang lagi bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berhubung dakwaan serupa.
Pada 5 Julai lalu, Mahkamah Tinggi di sini menolak permohonan Ahmad Zahid untuk mengenakan perintah injunksi terhadap Tun Dr. Mahathir Mohamad berhubung dakwaan beliau meminta bekas Perdana Menteri itu mencampuri urusan kes yang sedang dihadapinya di mahkamah.
Keas saman fitnah Ahmad Zahid terhadap Dr. Mahathir ditetapkan untuk pengurusan kes pada 23 Ogos ini. – UTUSAN