PETALING JAYA: Malaysia memerlukan satu undang-undang dan kerangka amalan yang khusus dan jelas berkaitan pendanaan politik.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ia susulan banyak ahli politik disiasat kerana dana yang disifatkan sebagai dana politik yang datangnya daripada sumber-sumber seperti syarikat korporat, kutipan orang awam malah sumbangan dari entiti luar negara.
“Sejauh manakah kebenaran dakwaan tersebut, biarlah mahkamah dan proses undang-undang yang menentukan. Persepsi serta pandangan awam tidak akan bersifat objektif dan sudah pastilah setiap satu pihak mempunyai pendirian berbeza dan tersendiri.
“Cuma, dari seri undang-undang, berdasarkan peruntukan dan kerangka sedia ada, pemberian dana seperti itu yang disifatkan sebagai dana politik selalunya dilihat sebagai tidak sah dan melibatkan pelbagai konflik kepentingan,” katanya kenyataan hari ini.
Menurut beliau, kewujudan undang-undang khusus dan jelas berkenaan pendanaan politik, akan memberikan beberapa kelebihan.
“Pertama, akan ada kriteria dan definisi yang jelas tentang bentuk dan saluran dana politik yang sah. Perkara ini membolehkan kita menghalang dan menghukum pemberian atau penerimaan dana yang tidak mematuhi peruntukan yang jelas tersebut.
“Kedua, kewujudan undang-undang khas dan jelas membolehkan proses semakan, audit serta laporan segala dana berkaitan politik diwajibkan ke atas semua parti politik,” kata beliau.
Menjelaskan lanjut, Khaled berkata, kelebihan lain adalah memastikan pergerakan politik tidak bergantung kepada sumber wang yang tidak jelas, diragukan serta mempunyai konflik kepentingan yang serius.
“Dengan adanya undang-undang khas ini, negara kita tidak perlu lagi bermain-main dengan persepsi dan perbahasan tentang apakah sesuatu dana itu sah atau tidak.
“Undang-undang pendanaan politik menggambarkan yang kita tidak berpura-pura dan berpijak di bumi yang nyata. Bahawa, banyak aktiviti serta pergerakan politik memerlukan dana yang konsisten, jelas dan sah,” katanya.- UTUSAN