Perdana Menteri peroleh injunksi terhadap AgendaDaily

Perdana Menteri peroleh injunksi terhadap AgendaDaily

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini berjaya mendapatkan perintah injunksi terhadap pemilik portal berita AgendaDaily, Muhamad Izwan Mohd Zubit.

Menurut peguam Joshua Tan, injunksi tersebut dikeluarkan oleh Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Nik Hasmat Nik Mohamad tanpa sebarang perintah berhubung kos dan berkuat kuasa sehingga tamat kes saman fitnah tersebut.

Peguam memaklumkan demikian ketika dihubungi media di sini hari ini selepas tamat prosiding pendengaran permohonan yang dijalankan secara dalam talian.

Sementara itu, peguam, Asiah Abd. Jalil yang mewakili Muhamad Izwan selaku defendan mengesahkan perkara tersebut.

Beliau turut memberitahu bahawa pada prosiding hari ini, mahkamah turut mencadangkan agar kedua-dua pihak berunding untuk penyelesaian, tanpa perlu kepada perbicaraan penuh. 

“Mahkamah menetapkan pengurusan kes pada 26 Ogos ini untuk pihak-pihak memaklumkan status perbincangan,” katanya.

Menurut penyataan tuntutan, pada 30 Januari lalu, defendan telah menerbitkan satu artikel bertajuk “Ismail Sabri bimbang jadi PM paling singkat, ‘rayu’ jangan tarik sokongan” yang dikatakan berbaur fitnah.

Artikel terbabit juga telah diterbitkan semula dalam laman sesawang ‘The MalaysiaLife’ yang boleh diakses oleh orang awam.

Ismail dalam penyataan tuntutannya menyatakan, artikel terbabit antara lain menggambarkan dirinya sebagai seorang yang tidak jujur dan terdesak untuk kekal menjadi Perdana Menteri dalam apa juga cara.

Selain itu, artikel tersebut turut menggambarkan Ismail sebagai seorang yang mementingkan kedudukannya sebagai Perdana Menteri berbanding kepentingan Malaysia dan rakyatnya dan parti politik UMNO.

Artikel itu juga didakwa dibuat dengan niat jahat bagi menjatuhkan reputasinya sebagai Perdana Menteri dan ahli UMNO.

Pada 3 Februari lalu, peguam mewakili Ismail telah menghantar surat tuntutan memohon defendan untuk memadamkan artikel tersebut dan memohon maaf. Namun permohonan tersebut sehingga hari ini masih belum dilaksanakan.

Oleh itu, Ismail memohon satu perintah injunksi agar defendan memadamkan artikel berbaur fitnah itu dalam semua laman sesawang dan media sosial kendalian Muhamad Izwan.

Plaintif turut memohon satu perintah mahkamah agar defendan menyerahkan dokumen bagi menunjukkan bahawa artikel terbabit telah dipadamkan dalam tempoh 24 jam dari tarikh penghakiman.

Artikel berbaur fitnah itu telah dipadamkan.

Turut dimohon ialah permohonan maaf daripada defendan dalam bentuk yang akan ditentukan oleh plaintif yang akan diterbitkan dalam laman sesawang dan di 21 akhbar tempatan dalam tempoh tujuh hari dari tarikh penghakiman.

Ismail turut menuntut ganti rugi am, tambahan dan teladan yang akan ditaksirkan kemudian oleh mahkamah, faedah sebanyak lima peratus dari tarikh penghakiman sehingga penyelesaian penuh serta kos dan relif-relif lain yang difikirkan sesuai oleh Mahkamah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya