Perak negeri pertama anjur Karnival JAKM di luar bandar

Perak negeri pertama anjur Karnival JAKM di luar bandar

SEORANG pengunjung mengimbas kod pendaftaran Karnival JAKM Negeri Perak di Litar Dato' Sagor, Kampung Gajah di Pasir Salak, Perak, hari ini.- FOTO/MOHAMAD HAFIZI MOHD. SAID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR SALAK: Karnival Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (JAKM) Negeri Perak di Litar Dato’ Sagor, Kampung Gajah di sini bermula hari ini sehingga 3 Julai cukup unik apabila ia diadakan di kawasan luar bandar berbanding empat negeri sebelum ini.

Timbalan Setiausaha Kerajaan (pembangunan) Perak, Halizah Sipun berkata, kesemua JAKM di empat negeri sebelum ini diadakan ibu negeri masing-masing yang merupakan kawasan bandar dan tumpuan utama masyarakat.

Menurut beliau, kerajaan negeri menganggap penganjuran JAKM di Kampung Gajah amat istimewa memandangkan ia memberi peluang kepada masyarakat luar bandar khususnya mereka di kampung untuk melihat dan merasai suasana Karnival  JAKM.

“Perak merupakan negeri kelima diadakan program seumpama ini, cuma keistimewaan Perak adalah kita adakan di luar ibu negeri di Litar Dato’ Sagor, Kampung Gajah.

“Lokasi ini merupakan kawasan luar bandar yang mempunyai banyak keistimewaan yang kita tonjolkan di sini terutamanya dari segi produk pertanian dan makanan,” katanya kepada pemberita pada Karnival JAKM Negeri Perak, di sini hari ini.

Beliau berkata, kerajaan negeri menyasarkan seramai 30,000 pengunjung hadir pada karnival berkenaan yang berlangsung selama tiga hari bermula pukul 9 pagi sehingga 6 petang.

Bagaimanapun katanya, pihaknya menjangkakan jumlah sasaran berkenaan akan dapat diatasi.

Katanya, ini memandangkan sambutan yang diterima pada hari pertama melangkaui jangkaan di mana sejak dibuka pada pukul 9 pagi sehingga tengah hari ini, mereka menerima pendaftaran seramai 8,000 orang pengunjung.

“Kalau hari ini yang merupakan hari bekerja sudah capai sebegitu, saya jangka esok Sabtu jumlah berkenaan akan meningkat,” katanya.

Beliau berkata, karnival di sini bukan sahaja memudahkan penduduk luar bandar hadir tapi secara tidak langsung memberi pendedahan kepada mereka yang tidak pernah berkunjung ke Kampung Gajah mengenali keunikan serta kawasan pelancongan di sini.

“Kita juga membantu usahawan tempatan dan luar dari Kampung Gajah menjual produk mereka di samping membawa banyak jualan untuk membantu merancakkan ekonomi di sini,” katanya.

Program JAKM Negeri Perak membuka tirainya bermula 1 hingga 3 Julai  daripada pukul 9 pagi  hingga 6 petang bertempat di Litar Dato’ Sagor, Pasir Salak dengan pelbagai program yang telah diatur bagi memenuhi keperluan Keluarga Malaysia. 

Majlis penutupan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan diadakan pada 3 Julai bermula pukul 11 pagi yang turut dihadiri Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Pelbagai program dan aktiviti menarik disediakan antaranya Karnival Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia yang membuka sebanyak 3,317 peluang pekerjaan daripada 24 majikan untuk orang ramai.

Turut diadakan jualan Keluarga Malaysia, 100 gerai usahawan industri kecil sederhana (IKS) tempatan, citarasa Keluarga Malaysia, program kerohanian seperti Malam Zikir Berkah Perak Sejahtera, pertandingan bintang patriotik, cabutan bertuah, program sukan seperti e-sukan (e-sports) dan sukan rakyat serta banyak lagi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya