Peniaga tidak mengaku langgar polis berdepan enam pertuduhan - Utusan Malaysia

Peniaga tidak mengaku langgar polis berdepan enam pertuduhan

CHUA Kai Choon (kiri) yang berdepan enam pertuduhan di Mahkamah Majistret dan Mahkamah Sesyen dikawal anggota polis ketika tiba di Kompleks Mahkamah Kulim. - UTUSAN/AZAHAR HASHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULIM: Seorang peniaga pasar pagi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan melanggar seorang anggota polis Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dengan kenderaan pacuan empat roda sehingga parah, pada Sabtu lalu.

Tertuduh, Chua Kai Choon, 46, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik sahaja pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Mirza Mohamad.

Kai Choon turut dituduh dengan lima lagi pertuduhan di Mahkamah Majistret di sini iaitu menghalang tugas penjawat awam dan memasukkan dadah ke dalam badan.

Dia turut dituduh di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 atas kesalahan memandu dengan melulu serta di bawah pengaruh dadah selain mengubah suai struktur kenderaan.

Bapa kepada dua anak itu juga mengaku tidak bersalah atas kelima-lima pertuduhan berkenaan.

Mengikut pertuduhan pertama, Kai Choon didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas anggota polis, Koperal Muhamad Khairul Syafiq Ahmad dengan cara melanggar mangsa menggunakan kenderaan jenis Nissan Frontier yang mana ia boleh menyebabkan kematian.

Kejadian didakwa berlaku berdekatan bangunan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Jalan Kulim-Serdang di sini kira-kira pukul 9.15 pagi, 16 Julai lalu.

Pendakwaan terhadapnya dilakukan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun.

Sementara di Mahkamah Majistret di sini, dia didakwa menghalang tugas penjawat awam itu dengan pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan kesalahan mengambil dadah jenis THC di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Bagi kesalahan memandu secara melulu, memandu di bawah pengaruh dadah dan mengubah suai kenderaan, lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 42(1), Seksyen 44 (1A) dan Seksyen 119(2) APJ 1987 (Akta 338/87).

Tertuduh yang diwakili peguam, Choong Seng Ming dan Tengku Hezrul Annuar Tengku Abdul Samad tidak dibenarkan diikat jamin bagi pertuduhan pertama dan tarikh sebutan semula bagi semua kes tersebut ditetapkan pada 16 Ogos ini.

Utusan Malaysia pada Isnin lalu melaporkan, seorang pemandu trak pikap yang menghimpit anggota URB sehingga menyebabkan mangsa terbabas dan mengalami cedera parah direman enam hari bagi membantu siasatan kes tersebut.

Kejadian dikatakan berlaku ketika anggota polis terbabit bertindak mengejar suspek yang mengelak ketika pemeriksaan. Pemeriksaan mendapati kenderaan tersebut diubah suai dengan tangki minyak tambahan diletakkan di bahagian belakang kenderaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya