KUALA LUMPUR: Seorang penghantar barang dijatuhi hukuman penjara 14 hari dan denda RM15,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menerima suapan RM3,000 sebagai upah meluluskan invois cukai bagi pembayaran perkhidmatan keselamatan.
Hakim Azura Alwi turut memerintahkan Habib Rahman Anwar Basha, 47, dipenjara 10 bulan lagi jika denda itu gagal dijelaskannya.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nor Diana Nor Azwa memaklumkan, hari ini ditetapkan untuk perkembangan akhir pengurusan kes tersebut.
Jelasnya, pihak pendakwaan telah menerima representasi yang dikemukakan tertuduh bagi pengurangan hukuman. Representasi itu dihantar pada 24 Jun lalu.
Sehubungan itu, pertuduhan terhadapnya dibacakan semula dan Habib Rahman menukar pengakuannya kepada bersalah.
Ketika didakwa pada 31 Mei 2021, lelaki tersebut memohon dibicarakan terhadap pertuduhan yang dikemukakan.
Habib Rahman disabitkan menerima suapan wang tunai RM3,000 daripada S. Kumaran sebagai upah meluluskan invois cukai bagi pembayaran perkhidmatan keselamatan untuk Disember 2016 yang dikemukakan oleh Syarikat G15 Security Sdn. Bhd. (G15 Security).
Menurut pertuduhan, lelaki tersebut yang ketika itu bertugas sebagai pembantu perkhidmatan bangunan di Syarikat Chester Properties Sdn. Bhd. didakwa melakukan perbuatan itu pukul 10.22 malam, 29 Mei 2017 di No. 23 GM & 25GM, Jalan Pandan Indah 4/8 di sini.
Menurut fakta kes, Kumaran iaitu pengadu kes telah membuat laporan kepada SPRM berhubung perbualannya bersama tertuduh.
Pihak SPRM kemudian membawa Kumaran membuat rakaman perbualan telefon yang menyatakan tertuduh mempunyai niat untuk mengambil wang rasuah RM3,000 daripada pengadu di Hong Leong Bank Jalan Pandan Indah kira-kira pukul 10 malam.
Terdahulu, peguam Datuk Zailan Mohamed memohon anak guamnya dikenakan hukuman ringan kerana pengakuan bersalahnya telah menjimatkan masa mahkamah.
Hujah pembelaan, Habib Rahman yang tidak mempunyai rekod jenayah merupakan penanggung tunggal keluarga selain membiayai kos rawatan ayahnya yang telah uzur serta isteri yang menghidap ketumbuhan.
Bagaimanapun, Nor Diana memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal berbentuk pengajaran kepada tertuduh kerana keseriusan kesalahan yang dilakukannya.
Pendakwaan berhujah, kesalahan itu bukan secara tiba-tiba sebaliknya jenayah terancang melalui perbualan tertuduh dan pengadu kes.
Dia didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama.
Bagi kesalahan itu, dia boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda minimum lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu, jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi. – UTUSAN