Ini satu hal tentang perangai seorang pengarah tanah air ini. Ada penerbit mengadu pada Cik Bunga, pengarah berusia 30-an ini begitu licik dengan permainannya kalau bab duit.
Kata penerbit ini, dia sebenarnya sudah lama memerhatikan gelagat pengarah lelaki ini. Tapi belum ambil apa-apa tindakan sebab nak tengok sejauh mana akal pengarah ini boleh pergi dengan penipuannya.
Terbaru, dengarnya, si pengarah yang diberi tanggungjawab untuk melunaskan sebuah projek penggambaran sebuah filem di luar negara asyik merungut pasal tak cukup bajet sepanjang menjalani penggambaran di luar negara.
Masalahnya, sepanjang sebulan berada di sana, berjuta sudah penerbit ini keluarkan peruntukan bajet untuk urusan kerja-kerja penggambaran itu dilaksanakan. Apa yang tak cukup bajetnya?
Ditanya sama ada sudah berpuas hatikah dia dengan hasil akhir projek filem tersebut? Kata penerbit, haram tak nampak bayang lagi. Minta hantar laporan bajet pun pengarah itu berikan laporan bak budak sekolah rendah punya hasil.
Peliklah juga. Selama ini, pengarah ini canang pada orang yang dia memiliki profil kerja yang meletup-letup! Tak naklah Cik Bunga sebut judul filem apa yang dia pernah buat. Nanti tahulah pula siapa gerangannya.
Kata penerbit ini lagi, bila dah nampak bunga-bunga pengarah ini yang ‘kaki kencing duit’, maka teringatlah dia akan pesanan beberapa rakan industri sebelum ini.
Ada yang berpesan dengannya supaya berhati-hati dengan lelaki ini. Itu juga menjawab tanda tanya mengapa bekas rakan pengarah itu turut angkat kaki tak nak dikaitkan dengan lelaki terbabit.
Entahlah, bagi Cik Bunga, kalau sudah terbukti pengarah ini suka ambil kesempatan dan kaki kencing duit orang, baik jangan diberi muka. Kalau betul menyeleweng, laporkan saja.