KEMAMAN: Seorang penganggur yang disyaki suspek utama kes bakar remaja berusia 15 tahun hingga melecur pada Jumaat lalu dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Bagaimanapun tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Shaikh Hilman Hakim Shaikh Anuar, 28, selepas pertuduhan dibacakan dihadapan Majistret Tengku Eliana Tuan Kamaruzaman.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan parah menggunakan api ke atas Muhammad Fiqrie Adam Abdullah, pada pukul 3 pagi di simpang empat Kampung Perasing Jaya, Jabor di sini pada 22 Julai lalu.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwaraya Nurhanisah S H Sahul Hamid manakala tertuduh diwakili peguam, Nurul Farhana Shamsudin.
Mahkamah menetapkan 1 Ogos ini sebagai tarikh penetapan jaminan dan kes dibawa ke Mahkamah Sesyen.
Sementara itu, tiga lagi tertuduh yang didakwa di mahkamah sama melakukan kecederaan ke atas remaja tersebut di lokasi dan masa yang sama, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu.
Ketiga-tiga tertuduh, Mohamad Razman Zalizan, 20; Mohamad Razif Mohamad, 20, dan Muhammad Imran Mohamad, 18, didakwa di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwaraya Nur Azhani Azman manakala tertuduh diwakili peguam sama.
Mahkamah kemudiannya menetapkan 8 September sebagai tarikh sebutan semula kes dan ketiga-tiga tertuduh dibenarkan diikat jamin sebanyak RM1,800 setiap seorang dengan syarat tambahan tidak boleh mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan.
Sabtu lalu, Utusan Malaysia melaporkan remaja lelaki tersebut melecur 40 peratus selepas dipercayai disimbah cecair jenis minyak sebelum dinyalakan api gara-gara dituduh mencuri wang RM100.
Remaja yang keciciran sekolah itu kini sedang dirawat di unit kebakaran Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan, Pahang. – UTUSAN