Penganggur berdepan hukuman mati dakwaan bunuh kekasih

Penganggur berdepan hukuman mati dakwaan bunuh kekasih

LEE Wei Shen hadir di Mahkamah Majistret, Klang, Selangor, hari ini. - UTUSAN / ZULFADHLI ZAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Seorang penganggur berdepan hukuman mati apabila dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, atas pertuduhan membunuh seorang pelajar perempuan yang juga kekasihnya di Pandamaran, 26 Jun lalu.

Tiada pengakuan direkodkan daripada Lee Wei Shen, 24, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Amirul Asyraf Abd. Rashid.  Bagaimanapun tertuduh yang memakai baju hitam mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa.

Mengikut pertuduhan, Wei Shen didakwa melakukan pembunuhan dengan menyebabkan kematian seorang remaja perempuan berusia 16 tahun. Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Kampung Idaman, Pandamaran, Pelabuhan Klang, kira-kira pukul 3.40 pagi pada 26 Jun lalu.

Tertuduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nuruljannah Aimi memohon tempoh bagi penyediaan laporan toksikologi, kimia, forensik dan bedah siasat. Wei Shen yang masih bujang bagaimanapun tidak diwakili peguam.

Amirul Asyraf membenarkan permohonan pihak pendakwaan dan menetapkan sebutan semula kes pada 7 September ini.

Akhbar sebelum ini melaporkan, hubungan cinta seorang pelajar perempuan dengan penganggur berakhir dalam keadaan tragis apabila mati ditekup menggunakan bantal oleh kekasihnya sendiri.

Kejadian kira-kira pukul 2 pagi itu berlaku selepas mangsa dibawa lelaki berkenaan ke rumah dengan menaiki Perodua Myvi. Ia terbongkar apabila suspek mengetuk pintu bilik tidur ibu bapanya selepas mengangkat mangsa dari biliknya ke halaman rumah tersebut.

Siasatan mendapati mangsa tinggal di Puchong bersama bapa saudaranya selepas ibu bapanya bercerai. Suspek dan mangsa dipercayai telah bercinta selama setahun dan diketahui antara keluarga masing-masing.

Berdasarkan siasatan awal, berlaku perselisihan faham antara suspek dan mangsa di bilik tidur dan lelaki itu pernah membawa mangsa ke rumahnya beberapa kali sebelum ini. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya