KOTA TINGGI: Seorang penganggur berdepan hukuman gantung sampai mati selepas dihadapkan di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas kesalahan membunuh seorang wanita yang baru dikenali menerusi aplikasi sembang bulan lalu.
Tertuduh, Muhamad Safuan Ridzuan, 32, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret, Rashidah Baharom, namun tiada pengakuan direkodkan.
Berdasarkan pertuduhan, Muhamad Safuan didakwa membunuh Nik Azizah Nik Ma, 35, di Kilometer 6, Jalan Kota Tinggi-Kluang berhampiran Kampung Lipat Kajang, Kota Tinggi kira-kira pukul 10 malam, 1 Jun lalu.
Dia didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan. Difahamkan tertuduh yang tidak diwakili peguam bela baru mengenali mangsa selama dua bulan menerusi aplikasi sembang Omi.
Dalam pertuduhan berlainan, Muhamad Safuan mengaku tidak bersalah memasukkan dadah jenis methamphetamine ke dalam badannya. Dia didakwa melakukan perbuatan itu pukul 1.25 petang di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi pada 23 Jun lalu.
Pendakwaan dibuat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun, jika sabit kesalahan.
Rashidah kemudian menetapkan 1 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula bagi kedua-dua pertuduhan sementara menunggu laporan forensik dan kimia bagi kes bunuh serta patologi untuk dadah.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Irsyad Mardi. – UTUSAN