Penduduk desak dedah punca sebenar kepala air

Penduduk desak dedah punca sebenar kepala air

PENDUDUK mendesak kerajaan mendedahkan punca sebenar tragedi kepala air dan banjir lumpur yang meragut tiga nyawa di Kampung Iboi, Kupang, minggu lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALING: Penduduk yang terjejas te­ruk dengan tragedi kepala air dan ban­jir lumpur di Kampung Iboi, Kupang ming­gu lalu mendesak kerajaan men­dedahkan punca sebenar kejadian yang meragut tiga nyawa itu.

Ini kerana, jika bukan kerana faktor projek ladang hutan yang menjalankan tanaman Musang King di puncak Gunung Inas, penduduk tertanya-tanya apa faktor sebenar yang memburukkan keadaan berkenaan.

Mereka menggesa kerajaan memberi jaminan keselamatan kerana sebahagian besar penduduk yang mendiami kawasan berhampiran Sungai Kupang kini trauma untuk terus tinggal di sana.

NOR MOHAMAD CHE HUSSAIN

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Setiausaha Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Iboi, Nor Mohamad Che Hussain berkata, mereka bertambah resah apabila kerajaan mengesahkan Gunung Inas bukan berada dalam senarai kawasan berisiko berlaku bencana.

“Kalau bukan projek Musang King, kenapa impak teruk sangat sehingga kehilangan tiga nyawa penduduk.

“Sekarang, penduduk rasa takut untuk tinggal di sini, seolah-olah macam pihak berkaitan ada selindung fakta sebenar kerana sehingga kini, belum ada jawapan konkrit daripada pihak yang berautoriti.

“Malah, Menteri Besar yang pada awalnya minta semua tunggu laporan jabatan dan agensi berkaitan alih-alih memaklumkan tiada kolam takungan pecah di atas gunung yang seolah-olah ‘membersihkan’ pihak yang terlibat dengan Musang King daripada sebarang kesalahan,” katanya.

Dalam kejadian Isnin lalu, pendu­duk mendakwa melihat sendiri timbunan kayu dan pokok-pokok hutan bersaiz besar hanyut di Sungai Kupang sehingga membadai 15 buah rumah penduduk selain 18 buah lagi mengalami kerosakan teruk.

ISMAIL RAMLI

Sementara itu, seorang penduduk, Ismail Ramli berkata, jika benar kolam tersebut tidak pecah, limpahan airnya pasti boleh berulang lagi dengan keada­an cuaca tidak menentu ketika ini.

“Kalau boleh, kerajaan hentikan be­tul-betul projek tanaman Musang King dan membuat sesuatu terhadap kolam takungan yang ada bagi memastikan keselamatan penduduk,” katanya.

Sementara itu Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Shaharom Nizam Abd. Manap berkata, pihaknya akan mene­liti minit mesyuarat Exco kerajaan ne­geri terdahulu berkaitan projek Ladang Durian Musang King di Gunung Inas.

Katanya, pihak SPRM juga akan meneliti laporan penilaian impak alam sekitar (EIA) sekiranya berlaku sebarang ketidakpatuhan terhadap kelulusan diberikan Jabatan Alam Sekitar.

“Projek ini sudah agak lama jadi banyak dokumen yang perlu diteliti semula termasuk minit-minit mesyuarat Exco dulu. Ada banyak peringkat dan perkara yang perlu dilihat semula,” katanya ketika dihubungi semalam.

Tambahnya, pihaknya juga berkemungkinan akan memanggil syarikat yang mengusahakan ladang durian di gunung berkenaan sekiranya terdapat tanda-tanda pelanggaran syarat.

“Kita akan nilai segala aspek. Jika ada kesalahan di bawah bidang kuasa SPRM, kita akan ambil tindakan dan jika tidak, kita serahkan kepada agensi lain yang berkaitan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya