Pendakwa pertikai pemilik Twitter bocor transkrip rakaman audio - Utusan Malaysia

Pendakwa pertikai pemilik Twitter bocor transkrip rakaman audio

SYED Saddiq Syed Abdul Rahman hadir pada perbicaraan kes pecah amanah, menyalahgunakan harta dan pengubahan wang haram di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini. - UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pihak pendakwaan membangkitkan aduan di Mahkamah Tinggi di sini berhubung tindakan seorang pemilik akaun Twitter yang didakwa membocorkan transkrip rakaman audio dikatakan perbualan di antara Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan seorang pegawai kanan Suruhajaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Rakaman audio tersebut belum ditandakan sebagai eksibit oleh pihak mahkamah ketika dimainkan semalam pada prosiding perbicaraan pecah amanah dan pengubahan wang haram melibatkan Ahli Parlimen Muar itu.

Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin mempersoalkan bagaimana pemilik akaun itu yang dikenali sebagai `Farhan’ memperolehi transkrip berkenaan dan kemudian membuat hantaran dalam Twitternya.

Beliau yang juga Timbalan Pengarah 1 Bahagian Pendakwaan & Perundangan SPRM menyifatkan tindakan itu sebagai tidak beretika kerana mahkamah belum mengesahkan ketulenan suara dalam rakaman audio itu adalah Syed Saddiq dan Penguasa Kanan SPRM, Mohd. Ihsan Sapuan.

Ujarnya, transkrip itu kemudian tersebar kepada pihak media dan disiarkan oleh Astro Awani dan Sinar Harian yang antara lain menyatakan pihak pembelaan mempersoal tindakan SPRM yang didakwa cuba memujuk Syed Saddiq menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sehubungan itu, beliau mengemukakan permohonan lisan agar mahkamah memanggil Farhan yang turut berada di mahkamah hari ini manakala Editor Astro Awani serta Sinar Harian memberi penjelasan esok bagaimana transkrip rakaman audio itu diperoleh.

“Ini bukan perkara kecil, mahkamah belum tentukan keaslian pemilik suara dalam rakaman audio berkenaan namun Farhan membuat dapatannya sendiri. Saya mohon mahkamah memanggilnya memberi penjelasan, ini kerja budak mentah yang belum empuk lagi nasinya,” ujarnya.

Wan Shaharuddin turut menyatakan wartawan kedua-dua media berkenaan tidak hadir membuat liputan ketika rakaman audio tersebut dimainkan.

Beliau turut mengemukakan satu laporan polis yang dibuat awal pagi ini berhubung isu kebocoran transkrip rakaman audio tersebut.

Bagaimanapun, Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Azhar Abdul Hamid ketika memberi maklum balas berhubung perkara itu mengingatkan orang awam supaya tidak melampaui batas ketika membuat sebarang komen yang menyentuh perbicaraan Syed Saddiq.

Azhar berpendapat, mahkamah tidak boleh melarang mana-mana pihak mengeluarkan sebarang komen berkaitan perbicaraan kerana hak bersuara termaktub di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Namun ujar hakim berkenaan, komen yang diutarakan perlu berada dalam ruang lingkup yang dibenarkan dan tidak melampaui batas.

Wan Shaharuddin membangkitkan isu berkenaan pada perbicaraan terhadap Syed Saddiq, 29, atas pertuduhan pindaan bersubahat dengan Rafiq Hakim Razali melakukan pecah amanah dana berjumlah RM1 juta sebuah parti politik.

Terdahulu, peguam Gobind Singh Deo tidak bersetuju dengan tuduhan pihak pendakwaan bahawa transkrip itu dibocorkan walhal rakamannya diputarkan di mahkamah manakala pihak media turut mendengarnya ketika prosiding berlangsung.

Menurut Gobind, mahkamah juga tidak mengeluarkan larangan kepada orang awam atau pihak media yang membuat liputan supaya tidak menyiarkannya kepada umum.

“Kita perlu bersikap adil kepada pihak media, tidak kira sama ada rakaman itu sudah dijadikan eksibit atau tidak kerana rakaman itu diputar ketika prosiding di mahkamah terbuka,” ujar beliau.

Sementara itu, seorang lagi peguam yang mewakili Syed Saddiq, Datuk S. Ambiga turut meluahkan rasa tidak puashatinya dengan isu yang dibangkitkan oleh pihak pendakwaan yang disifatkan cuba membuli orang awam dengan membuat laporan polis berkaitan isu yang menyentuh integritinya.

Perbicaraan bersambung esok.

Mengikut pertuduhan pertama, Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Rafiq melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2 di sini pada 6 Mac 2020.

Pertuduhan kedua, Syed Saddiq didakwa menyalahgunakan RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise untuk diri sendiri.

Perbuatan itu didakwa menyebabkan Rafiq melupuskan wang tersebut di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya di sini antara 8 hingga 21 April 2018.

Beliau juga berdepan dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 109 yang memperuntukkan penjara maksimum 10 tahun dengan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Syed Saddiq juga didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Pertuduhan turut dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 [Akta 613].

Beliau boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama, dan sabit kesalahan memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau hasil daripada aktiviti haram. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya