KANGAR: Meskipun kudratnya sudah terbatas, namun Abdul Halim Ismail, 71, terus setia menunggu operasi pasukan keselamatan mencari anaknya yang hilang sejak enam hari lalu ketika menebas di dusun durian di atas bukit sekitar Sungai Batu Pahat di sini.
Dari awal pagi, Abdul Halim kelihatan mundar-mandir di kawasan pusat operasi mencari tersebut dan sesekali dia mengesat air mata kerana terlalu bimbangkan keselamatan anaknya itu.
Sejak kehilangan Zulhelmi Abdul Halim, 28, warga emas tersebut juga tidak dapat melelapkan mata kerana terlalu risaukan anaknya itu selain berharap agar anak bongsu daripada lima beradik itu ditemukan dalam keadaan selamat dan kembali pulang ke pangkuan keluarga.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Abdul Halim berkata, anaknya baru sahaja bekerja di dusun berkenaan sejak dua bulan lalu bagi membina pondok dan melakukan kerja-kerja menebas.
Katanya, sememangnya menjadi kebiasaan Zulhelmi keluar bekerja di dusun tersebut selama seminggu dan hanya pulang untuk berehat di rumah beberapa hari sahaja.
“Dia (Zulhelmi) memang mahir dengan laluan di sana, jadi kalau nak kata dia sesat itu memang agak mustahil juga. Kami pun tidak tahu apa sebenarnya yang terjadi,” katanya.
Semalam Utusan Malaysia melaporkan, Zulhelmi dipercayai hilang selepas keluar menebas bagi membersihkan sebuah dusun durian yang terletak di atas bukit sekitar Sungai Batu Pahat pada 8 Julai lalu.
Difahamkan dua rakannya turut terkandas selama satu malam selepas melakukan usaha pencarian mangsa semalam dan berjaya ditemukan dengan selamat.
Susulan itu, operasi mencari dan menyelamat diaktifkan dengan melibatkan beberapa agensi seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan penduduk sekitar kawasan berkenaan.
Tambah Abdul Halim, kali terakhir dia bertemu Zulhelmi adalah pada pagi hari kejadian dan anaknya juga tidak menunjukkan sebarang kelakuan pelik ketika itu.
“Zulhelmi merupakan seorang yang pendiam dan tidak banyak bercakap dengan ahli keluarga malah dia juga rajin bekerja bagi mencari pendapatan sendiri,” katanya.
Dalam pada itu Abdul Halim berkata, mereka sekeluarga sememangnya berharap agar Zulhelmi ditemukan selamat.
“Saya memang terasa kehilangan dan kami juga turut risaukan keadaannya selepas beberapa hari dilaporkan hilang,” katanya. – UTUSAN