PETALING JAYA: Seorang pemuda maut selepas tercampak keluar dari kereta yang terbabas dan melanggar besi pembahagi jalan sebelum kereta tersebut terbakar dalam kejadian di Kilometer 303.4 Lebuh Raya Kuala Lumpur-Seremban arah Seremban, tengah hari tadi.
Dalam kejadian pukul 1 tengah hari itu, mangsa berusia 30-an mengalami kecederaan parah di kepala disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan, berkata siasatan awal mendapati lelaki berkenaan yang menetap di Taman Overseas Union, dekat sini dalam perjalanan ke rumah rakannya di Seremban.
“Tiba sahaja di tempat kejadian, dia dipercayai gagal mengawal kenderaannya sehingga terbabas melanggar besi pembahagi jalan di sebelah kiri lebuh raya dan turut menyebabkan kenderaan itu terbakar.
“Pihak polis masih menjalankan siasatan lanjut untuk mengetahui punca sebenar kejadian, sama ada berpunca daripada kecuaian pemandu sendiri atau sebaliknya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Dalam pada itu, beliau meminta mana-mana pihak yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta tampil membantu siasatan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dengan menghubungi pegawai penyiasat di talian 018-2586153.-UTUSAN