Pemilik syarikat didakwa salah guna dana MITRA - Utusan Malaysia

Pemilik syarikat didakwa salah guna dana MITRA

K. C. Ramananaidu (kanan) tidak mengaku bersalah atas pertuduhan salah guna dana MITRA di Mahkamah Sesyen Alor Setar hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Seorang pemilik syarikat dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan salah guna dana Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) berjumlah RM100,000, tahun lalu.

Tertuduh, K. C. Ramananaidu, 32, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Harmi Thamri Mohamad.

Mengikut pertuduhan, tertuduh dengan curangnya menyalahgunakan wang tunai RM100,000 milik kerajaan melalui MITRA bagi Program Pembangunan Sosioekonomi Masyarakat India B40 untuk bidang pertanian.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan tersebut di Agrobank Bank Berhad Cawangan Sungai Petani pada 26 Februari 2021.

Dia didakwa melakukan kesalahan tersebut mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dipenjara minimum enam bulan atau dengan sebatan serta denda.

Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah, Mohd. Zulfadli Azharudin menawarkan jaminan RM80,000 bagi semua pertuduhan, namun, peguam Miguel Sequerah yang mewakili tertuduh memohon jumlah tersebut dikurangkan kepada RM20,000.

Harmi Thamri kemudian menetapkan jaminan berjumlah RM50,000 dengan seorang penjamin selain syarat tambahan di mana tertuduh tidak boleh mengganggu saksi dan perlu hadir ke mahkamah pada tarikh ditetapkan.

Mahkamah juga menetapkan 25 Ogos ini untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.

Tertuduh membayar jaminan berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya