Pembuat parang antara penerima anugerah MGDA 2021

Pembuat parang antara penerima anugerah MGDA 2021

AHMAD Nadir Askandar menerima MGDA 2021 bagi kategori aktiviti masa lapang, hobi dan sukan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Seorang pembuat parang tidak menyangka penyertaan buat kali pertama dalam Anugerah Malaysia Good Design (MGDA) akhirnya membuahkan hasil selepas parang jenis Duku Chandong yang dihasilkan terpilih dalam kategori produk aktiviti masa lapang, hobi dan sukan.

Pengarah Urusan Outdoor Dynamics Sdn. Bhd., Ahmad Nadir Askandar berkata, reka bentuk parang tersebut berasal dari China dan kemudian diadaptasi mengikut kesesuaian penggunaan masa kini.

“Saya mula hasilkan parang itu pada 2014 dan tahun lepas terdetik hati untuk menghantar permohonan menyertai MGDA. Memang rasa puas hati apabila produk yang direka menerima anugerah.

“Sehingga sekarang parang jenis Duku Chandong ini masih lagi laris terjual daripada kesemua 16 model parang yang dihasilkan. Model ini paling popular kerana reka bentuknya yang tidak terlalu keras dan ada terselit manisnya selain mempunyai keseimbangan,” katanya selepas Majlis Penyampaian Anugerah MGDA 2021 dan Pereka Perindustrian Bertauliah (CIDe) di sini, semalam.

Anugerah itu disampaikan Timbalan Menteri Perdagangan dan Antarabangsa, Datuk Lim Ban Hong dengan diiringi Pengarah Majlis Rekabentuk Malaysia, Sulaiman Arshad.

JAMILAH Yahya menerima MGDA 2021 bagi kategori pembungkusan melalui produk kusyen rehat pergelangan tangan.

Dalam pada itu, seorang tukang jahit, Jamilah Yahya, 58, turut meluahkan rasa bangga dan teruja apabila produk kusyen rehat pergelangan tangan yang dihasilkan berjaya menerima pengiktirafan MGDA bagi kategori pembungkusan bersama lapan lagi penerima lain.

Anak jati Johor itu berkata, pembungkusannya yang ringkas dan menarik bertujuan mempamerkan kusyen berbentuk haiwan selain dilengkapi dengan maklumat berkaitan produk.

“Memang terlalu teruja kerana sebelum ini tidak pernah terima sebarang anugerah sejak berkecimpung dalam dunia kraf tangan pada tahun 2017.

“Produk ini membuatkan saya tidak menang tangan memenuhi tempahan yang banyak daripada pelanggan kerana ia perlu dibuat secara teliti dan kemas,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya