Pembinaan PPR Klebang disambung semula - Utusan Malaysia

Pembinaan PPR Klebang disambung semula

LIM Ban Hong (kanan) mendengar taklimat daripada pemaju dan pengurus projek mengenai perjalanan PPR Klebang, Melaka. - UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Projek Perumahan Rakyat (PPR) Klebang di sini kembali bernyawa selepas kontraktor yang dilantik bagi memulihkan projek terbengkalai itu mula mengambil alih tapak pada Jun lalu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klebang, Datuk Lim Ban Hong berkata, pihak kontraktor telah menilai semula kerja-kerja terdahulu dan kawasan sekeliling memandangkan projek berkenaan terbengkalai sejak 2018.

Jelas beliau, penilaian semula itu penting bagi memastikan segala aspek seperti peralatan, kelengkapan dan struktur yang digunakan masih selamat untuk diguna pakai semula.

“PPR Klebang memiliki 250 unit kediaman dan terdapat beberapa peralatan yang telah siap dipasang. Oleh itu, sangat penting untuk menilai dulu status projek ini sebelum kerja pembinaan disambung semula.

“Pihak Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Klebang akan memantau perjalanan projek ini dan memastikan kerja-kerja kontraktor mengikut jadual.

“Pelbagai agensi kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) turut bekerjasama dengan kontraktor dalam aspek teknikal bagi memastikan kerja-kerja ini berjalan lancar,” katanya ketika sidang akhbar selepas melawat tapak PPR Klebang di sini hari ini.

Sementara itu, Ban Hong yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri memaklumkan, PPR Klebang dijangka siap sepenuhnya pada Disember 2023.

Menurutnya, kemajuan projek berkenaan sudah mencapai tahap 90 peratus sebelum terbengkalai semasa pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

“Hanya infrastruktur kemudahan seperti surau, dewan, sistem perparitan dan jalan yang masih belum siap. Berdasarkan taklimat oleh pemaju dan kontraktor, saya difahamkan projek ini akan siap pada hujung tahun depan.

“Saya harap tidak berlaku kelewatan lagi kerana jika tergendala bakal memberi kesan kepada pemohon yang menaruh harapan untuk memiliki rumah PPR ini,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya