PETALING JAYA : Pembalakan secara tebang habis di dalam kawasan hutan simpan kekal yang meliputi lebih 85 peratus daripada jumlah hutan di Semenanjung Malaysia harus dihentikan.
Pengerusi Persatuan Aktivis Sahabat Alam (KUASA), Hafizudin Nasarudin berkata, pihaknya tidak bersetuju dengan kelulusan aktiviti pembalakan secara tebang habis kerana aktiviti sebegini akan melenyapkan hutan semula jadi yang asal serta memusnahkan ekosistem secara keseluruhan.
Selain itu, ia mampu mengundang kepada kepupusan spesies akibat kehilangan habitat dan permasalahan yang lebih besar lagi kepada manusia, sebagai contoh bencana alam dan kehilangan sumber kehidupan komuniti.
“Mengikut Dasar Perhutanan Negara dan dibawah Akta Perhutanan Negara 1984 (Seksyen 19), aktiviti pembalakan secara tebang habis di dalam kawasan hutan simpan kekal bagi tujuan pelbagai pengeluaran hasil seperti kayu balak dan mineral masih dibenarkan.
“Oleh itu, kami bersetuju pembalakan secara lestari mengikut garis panduan yang diluluskan di kawasan yang kurang sensitif dijalankan tetapi harus dikawal dengan baik kerana keperluan ekonomi dari sumber pembalakan tidak dapat dielak,” katanya.
KUASA berharap kerajaan dapat mengezonkan keseluruhan kawasan hutan simpan kekal di Semenanjung Malaysia sebagai kawasan sensitif alam sekitar tahap 1 dan 2 di bawah Rancangan Fizikal Negara (RFN), jadi tiada sebarang aktiviti pembangunan boleh diluluskan melainkan aktiviti eko pelancongan terkawal, konservasi, penyelidikan dan pembalakan secara lestari. – UTUSAN