Pembahagian kerusi BN, biar kepimpinan tertinggi buat keputusan - Utusan Malaysia

Pembahagian kerusi BN, biar kepimpinan tertinggi buat keputusan

MOHAMAD Hasan (tengah) bersama pimpinan parti selepas mengadakan pertemuan bersama jentera pilihan raya BN dan penyerahan tauliah pelantikan pengerusi-pengerusi PDM seluruh Kedah di Bangunan Tunku.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan menasihatkan semua ahli supaya tidak lagi menyentuh soal pengagihan kerusi antara parti-parti komponen dalam gabungan itu.

Menurutnya, perkara itu perlu diserahkan sepenuhnya kepada kepimpinan setiap parti di peringkat Pusat yang terdiri daripada presiden-presiden serta biro politik masing-masing.

Setakat ini tegasnya, kedudukan pembahagian kerusi antara parti dalam BN untuk Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) masih kekal dengan status quo.

“Kepimpinan parti akan bentang strategi dan dari situ kita akan lihat secara keseluruhan. Kita tak mahu nanti ada pula di peringkat bahagian yang menyatakan aku nak ambil kerusi itu dan dia nak ambil kerusi ini.

“Keadaan itu nanti akan mewujudkan perasaan tak sihat antara satu sama lain. Jika setiap parti sudah setuju di peringkat Pusat, semua peringkat parti di peringkat negeri, Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) akan menuruti apa diputuskan parti. 

“Di peringkat pucuk pimpinan, kami belum lagi ada rundingan mahu pun persetujuan. Saya harap tak perlulah keluar kenyataan berkaitan perkara tersebut dan usah keruhkan suasana kerana semangat keakraban kita dalam BN ini penting memandangkan keutamaan BN adalah untuk menang PRU,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mengadakan pertemuan bersama jentera pilihan raya BN dan penyerahan tauliah pelantikan pengerusi-pengerusi pusat daerah mengundi (PDM) seluruh Kedah di Bangunan Tunku, di sini, hari ini. 

Hadir sama, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Pengerusi BN Kedah, Datuk Seri Jamil Khir Baharom. 

Di Kedah, UMNO terutamanya Ketua UMNO Bahagian Alor Setar, Datuk Mohd. Yusof Ismail sudah beberapa kali mengeluarkan kenyataan untuk mengambil alih kerusi Parlimen Alor Setar yang selama ini ditandingi MCA.

Antara alasan mereka mahu berbuat demikian adalah kekalahan teruk MCA dalam dua Pilihan Raya Umum (PRU) sebelum ini, selain bilangan pengundi Melayu yang melebihi 64 peratus dalam Parlimen tersebut.

Mengulas lanjut, Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata, setakat ini segalanya masih berada dalam pusingan pertama dengan pihaknya akan menemui keseluruhan jawatankuasa pilihan raya di negeri-negeri, sebelum membuat laporan persiapan pilihan raya. 

“Selepas itu barulah kami akan bincang dengan rakan-rakan komponen BN mengenai kerusi mana yang akan ditandingi dan siapa calon untuk setiap kawasan Parlimen serta DUN,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya