IPOH: Pemandu treler yang terlibat dalam nahas tujuh kenderaan hingga mengorbankan empat beranak di Kilometer 277.1, Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan minggu lalu, dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Tertuduh, Suhaimi Mohd. Nor, 34, didakwa di mahkamah berkenaan atas empat pertuduhan memandu secara berbahaya hingga menyebabkan kematian kesemua mangsa.
Bagaimanapun bapa kepada lima anak itu mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Noor Hafiza Ishak.
Mengikut pertuduhan, Suhaimi yang memandu treler jenis Hino didakwa telah memandu kenderaan tersebut secara berbahaya dan menyebabkan kematian Rahim Ramli, 60, bersama isteri, Siti Petimah Omar, 59, serta dua anak mereka, Nor Hadirah, 28, dan Nor Hamizah, 27.
Dia didakwa melakukan kesemua kesalahan itu di Kilometer 277.1, Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan di dalam daerah Ipoh pada pukul 2.55 petang, 13 Julai 2022.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1), Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 10 tahun serta denda antara RM20,000 hingga RM50,000 dan hilang kelayakan daripada memegang dan mendapatkan lesen memandu selama tempoh tidak lebih lima tahun dari tarikh sabitan.
Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya, N. M. Maganaraj Mithra menawarkan jaminan RM40,000 bagi setiap pertuduhan namun Amir Kusyairi Mohamad Tanusi yang mewakili tertuduh memohon jumlah jaminan dikurangkan.
Menurut beliau, anak guamnya itu telah kehilangan punca pendapatan ekoran tidak lagi bekerja selepas insiden berkenaan dan merupakan penanggung tunggal keluarga.
“Tertuduh mempunyai seorang isteri dan lima orang anak yang paling kecil berusia dua tahun selain memberi kerjasama baik sepanjang siasatan,” katanya.
Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan selain syarat tambahan lesen memandu tertuduh digantung sehingga kes selesai.
Mahkamah turut menetapkan 4 Ogos ini untuk tarikh sebutan semula.
Tertuduh membayar jaminan berkenaan.
Media pada 13 Julai lalu melaporkan, empat beranak yang dalam perjalanan dari Sungai Petani, Kedah ke Kuala Lumpur itu maut selepas kereta dinaiki mereka dirempuh sebuah treler dari arah belakang.
Pemandu treler dari Rawang yang ditahan pada hari kejadian mempunyai 13 saman kesalahan trafik sejak 2008 hingga 2021 di mana tiga daripadanya membabitkan kemalangan jalan raya. – UTUSAN