Pemandu rempuh stesen minyak

Pemandu rempuh stesen minyak

KEADAAN sebuah kereta selepas merempuh cermin di Stesen Minyak Petronas di Bukit Rambai, Melaka. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: “Rempuhan yang kuat, mujurlah tiada sebarang kecederaan ke atas pekerja dan pelanggan,” kata Pengurus Stesen Minyak Petronas Taman Rambai Utama, Hafizi Che Hussin menceritakan insiden berbahaya yang berlaku kira-kira pukul 10.30 malam, semalam.

Katanya, kemalangan berlaku apabila sebuah kereta Proton Saga dipandu seorang lelaki berusia 57 tahun dipercayai secara tidak sengaja tertekan pedal minyak.

Ujarnya, kereta berkenaan bergerak laju, lantas merempuh tiga cermin stesen minyak itu serta merosakkan beberapa barangan jualan seperti beras, makanan kucing dan beberapa produk lain.

Menurut Hafizi lagi, sewaktu kejadian, tiga pekerja sedang bertugas di bahagian kaunter manakala dua pelanggan pula berurusan di mesin pengeluaran automatik (ATM) dalam premis tersebut.

“Mujurlah kereta itu merempuh cermin di bahagian tengah, jika tidak pastinya dua pelanggan sedang berurusan di ATM mungkin mengalami kecederaan parah. 

“Kebetulan sewaktu kejadian berlaku, tidak ramai pelanggan berada dalam premis ini. Kerugian yang dianggarkan sebanyak RM20,000,” katanya ketika ditemui pemberita.

Tambah Hafizi, berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), lelaki berkenaan berada di pam untuk mengisi minyak sebelum kejadian.

Katanya, pelaku didapati berjalan dalam keadaan terhincut sewaktu membuat pembayaran di kaunter dan kemudian dia dilihat tidak mengisi minyak apabila meletakkan semula nozel dipegangnya.

“Lelaki itu kemudiannya masuk ke dalam kereta dalam keadaan kaki kanannya di luar dan pintu kereta masih belum ditutup. Secara tiba-tiba, kereta itu terus memecut lalu merempuh cermin kaca kedai dan mengejutkan pekerja serta pelanggan yang berada dalam premis,” ujarnya.

Tambahnya lagi, selepas kejadian lelaki tersebut keluar dari kereta tanpa sebarang kecederaan dan ketika cuba ditenangkan oleh seorang pekerja, dia sebaliknya naik berang.

“Situasi tegang itu berlaku selama lima minit, dia berjaya ditenangkan ekoran insiden yang berlaku,” jelas Hafizi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit dalam kenyataan hari ini mengesahkan mengenai kejadian tersebut.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya