PETALING JAYA: Para pemain industri vape tempatan keliru dengan cadangan untuk melaksanakan polisi GEG dan memohon agar kerajaan mengkajinya semula.
Ini kerana, berdasarkan pemahaman, GEG jika dilaksanakan akan mengharamkan peranti itu untuk individu yang dilahirkan selepas 2007, sedangkan industri berkenaan menyumbang lebih RM2 bilion kepada ekonomi negara setiap tahun.
Setiausaha Agung, Dewan Perniagaan Vape Malaysia (DPVM), Ridhwan Rosli berkata, mereka sedia menerima apa juga undang-undang atau peraturan untuk mengawal selia industri itu, tetapi untuk mengharamkan terus perlu diberikan pertimbangan yang wajar.
Katanya, dalam sesi libat urus bersama Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin baru-baru ini beliau telah menyatakan pendirian kerajaan berkenaan GEG dan mengharamkan produk itu sama seperti rokok untuk individu yang lahir selepas 2007.
“Dalam pertemuan tersebut, Menteri Kesihatan memberikan makluman berkenaan akta yang akan dibentangkan. Ia akan melihat industri vape akhirnya dapat dikawal selia. Ini merupakan sesuatu yang dinanti-nantikan oleh pemain industri tempatan.
“Menteri Kesihatan turut memberikan pandangan dan pendirian Kerajaan berkenaan GEG yang akan mengharamkan vape sama seperti rokok untuk sesiapa yang dilahirkan selepas 2007.
“Setelah membuat perbincangan bersama beberapa pihak dalam industri, kami berpendapat polisi ini perlu dikaji semula. Terutamanya dari segi pelaksanaannya yang perlu dikaji memandangkan ia melibatkan kesan ke atas akar umbi industri vape yang dibangunkan oleh usahawan tempatan,” katanya.
Pengasas Malaysian Vaping Movement yang juga satu kumpulan aktivis dalam industri vape, Ibrahim Morni, berkata, ramai dalam industri sememangnya 100 peratus menyokong pelaksanaan undang-undang kawal selia vape.
“Yang kami mahukan adalah peraturan untuk kawal selia. Polisi GEG pula adalah agak drastik kerana ia mengharamkan industri vape pada masa depan. Kami mohon perkenalkan peraturan dahulu dan sambil itu, keputusan berkenaan GEG untuk industri vape dikaji semula.”
“Saya percaya industri vape di Malaysia perlu diberikan pengiktirafan yang sewajarnya dan bukannya untuk diharamkan secara perlahan-lahan,” katanya.
Dalam pada itu, Malaysian Vape Industry Advocacy (MVIA) juga menyarankan supaya Kerajaan mengkaji semula GEG untuk vape.
Presiden MVIA, Rizani Zakari berkata, larangan tersebut harus dikaji semula kerana ia tidak boleh dibuat secara terburu-buru.
Beliau berkata ramai yang keliru dengan polisi GEG ini.
“Selama ini Menteri Kesihatan hanya berkata GEG ini adalah untuk menamatkan tabiat merokok dan mencegah generasi baru daripada memulakan tabiat merokok.
“Taksiran merokok bukannya menggunakan vape dan oleh itu ramai yang ingatkan polisi GEG itu tidak melibatkan vape.
“Hanya baru-baru ini, Menteri Kesihatan berkata GEG ini juga mengharamkan vape pada masa depan dan tidak boleh dijual kepada sesiapa yang dilahirkan selepas 2007.
“Ramai yang tidak hadir dalam sesi libat urus dengan Menteri Kesihatan baru-baru ini tidak setuju dengan polisi GEG ini terutamanya pengusaha kecil dan sederhana dalam industri vape. Perkara ini perlu dikaji semula kerana ia akan memberikan kesan kepada usahawan tempatan,” katanya. – UTUSAN