Pelajar tingkatan dua maut dirempuh warga emas di Alor Gajah

Pelajar tingkatan dua maut dirempuh warga emas di Alor Gajah

KEADAAN kereta jenis Honda CR-V yang remuk selepas merempuh Muhammad Khiesyam Mohamad Jamel (gambar kecil) dalam nahas yang berlaku di Jalan Air Tanai, Air Paabas, Alor Gajah, Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Seorang pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Haji Talib Karim maut selepas motosikal ditunggangnya dirempuh sebuah kereta dalam kemalangan di Jalan Air Tanai, Air Paabas di sini, awal pagi ini.

Ketua Polis Daerah, Superintenden Arshad Abu berkata, mangsa, Muhammad Khiesyam Mohamad Jamel yang menunggang motosikal jenis Modenas Kriss dalam perjalanan dari Alor Gajah bertembung dengan sebuah kereta jenis Honda CR-V, dipandu seorang warga emas yang memasuki laluan bertentangan.

Beliau berkata, kemalangan tersebut mengakibatkan mangsa yang berusia 14 tahun maut di tempat kejadian dan dibawa ke Hospital Alor Gajah untuk bedah siasat.

“Pemandu Honda CR-V berusia 60 tahun dari arah Masjid Tanah telah masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan mangsa. Terdapat kesan geseran dan kesan tayar ditemukan di laluan penunggang motosikal berkenaan.

“Kejadian berlaku pada pukul 6.20 pagi. Siasatan awal di tempat kejadian mendapati, kenderaan terlibat masih berada di tempat kejadian dan belum dialihkan. Keadaan jalan adalah lurus, satu lorong dua hala, garisan putus-putus. Keadaan cuaca baik dan tidak hujan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda sehingga RM20,000 serta lesen boleh digantung dan hilang kelayakan lesen memandu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya