Pelajar cemerlang penghuni bawah JKM ditempatkan di institusi seliaan Mara - Utusan Malaysia

Pelajar cemerlang penghuni bawah JKM ditempatkan di institusi seliaan Mara

RINA Mohd. Harun meraikan kejayaan anak-anak penghuni Institusi Kanak-Kanak di bawah JKM yang mendapat keputusan cemerlang SPM 2021 di Cruise Tasik Putrajaya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) komited memastikan kanak-kanak cemerlang di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mendapat pendidikan sewajarnya.

Menterinya, Datuk Seri Rina Harun berkata, ia selaras dengan Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC) di bawah Artikel 28 bahawa semua kanak-kanak berhak mendapat akses kepada pendidikan sehingga tahap tertinggi.

“Sehubungan itu, KPWKM dan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) pada 8 Julai lalu bersetuju untuk menempatkan anak-anak cemerlang di bawah JKM di institusi-institusi pendidikan seliaan Mara.

“Anak-anak cemerlang JKM itu juga akan diberi peluang pendidikan dan pembiayaan biasiswa untuk menyambung pelajaran di institusi-institusi pendidikan berkenaan,” katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini.

Malam tadi, KPWKM meraikan kejayaan anak-anak penghuni Institusi Kanak-Kanak di bawah JKM yang mendapat keputusan cemerlang pada peperiksaan SPM tahun 2021.

Rina berkata, dua orang daripada 120 orang kanak-kanak institusi yang menduduki peperiksaan SPM berjaya mendapat keputusan 6A, manakala 11 orang daripada mereka telah berjaya mendapatkan sekurang-kurangnya 1A daripada semua mata pelajaran yang diambil.

Menurutnya, dalam tempoh 2018 hingga 2020, terdapat 37 orang kanak-kanak di institusi yang memperolehi kejayaan dalam peperiksaan SPM dengan memperoleh sekurang-kurangnya 1A dan ke atas.

“Sehingga Jun lalu, seramai 1,427 orang kanak-kanak berada di 37 buah Institusi Kanak-Kanak JKM.

“KPWKM melalui JKM komited memastikan anak-anak ini mendapat akses kepada pendidikan formal sama ada belajar di sekolah kerajaan atau menyediakan pendidikan dan latihan akademik serta kemahiran di dalam institusi,” katanya.

Katanya, KPWKM juga akan terus menyediakan dan meningkatkan persekitaran yang kondusif supaya anak-anak di institusi JKM berpeluang mendapatkan pendidikan.

Jelasnya, KPWKM turut menyeru supaya lebih ramai sektor korporat, agensi kerajaan dan lain-lain untuk bekerjasama bagi memastikan anak-anak di institusi JKM mendapat keputusan yang lebih cemerlang dalam pendidikan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya