SEREMBAN: Pertubuhan Kebajikan Islam dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida) Daerah Seremban semalam membuat laporan polis berhubung penganjuran konsert hiburan yang bakal diadakan di Nilai pada 23 dan 24 Julai ini.
Timbalan Pengerusinya, Zool Amali Hussin berkata, laporan polis tersebut dibuat selepas pihaknya mendapati program berkenaan akan menjurus kepada aktiviti tidak sihat termasuk pengambilan alkohol dalam kalangan penonton yang hadir.
“Penganjuran konsert terbuka bertajuk Something In The Park Concert itu saya percayai akan menimbulkan pelbagai masalah sosial seperti pengambilan minuman arak selain penyalahgunaan dadah.
“Lokasinya juga berhampiran dengan Masjid Dato’ Klana Petra, Undang Luak Sungai Ujong, Nilai. Oleh itu, kami dari Pekida Seremban yang mendukung negeri ini sebagai sebuah negeri beradat, membantah penganjuran konsert ini,” katanya dalam kenyataan.
Zool Amali berkata, laporan polis tersebut telah dilakukan pihaknya di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai, Nilai di sini.
Dalam pada itu, beliau menggesa supaya pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk membatalkan penganjuran konsert berkenaan.
“Saya juga percaya penduduk-penduduk Nilai juga akan membantah dan pihak PBT perlu mengambil langkah membatalkannya,” katanya lagi. – UTUSAN