MELAKA: Busuk, hitam dan menjijikkan. Itu keadaan yang dapat digambarkan mengenai pencemaran di Sungai Batu, Kampung Paya Rumput dekat sini.
Penduduk mendakwa masalah itu sudah berlarutan hampir enam tahun, berpunca dari Tapak Pelupusan Sampah Sungai Udang yang beroperasi berhampiran lokasi berkenaan.
Pencemaran itu juga didakwa menjejaskan pendapatan kira-kira 50 pekebun kecil yang bergantung kepada sumber air dari sungai tersebut untuk tanaman mereka dan kerugian ditanggung dikatakan mencecah RM200,000 setiap bulan.
Pengerusi Pekebun-pekebun Kecil Kampung Paya Rumput Jaya, Muhammad Abd. Rahman, 60, berkata, pencemaran kerap berlaku tanpa sebarang tindakan diambil sama ada daripada pihak pengurusan tapak atau agensi kerajaan.
Menurutnya, banyak aduan dibuat selain rundingan dijalankan dengan syarikat terlibat, namun situasi sama tetap berlaku sehingga kini.
“Bukan setakat tanaman pekebun musnah, malah pesawah padi juga menanggung kerugian akibat pencemaran tersebut. Air yang tercemar dengan bahan kimia menyebabkan banyak tanaman diusahakan pekebun dan pesawah mati,” katanya ketika sidang akhbar di lokasi berkenaan hari ini.
Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Sungai Udang, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad berkata, pihaknya telah meminta kerajaan negeri melalui Jabatan Alam Sekitar (JAS) serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk bertindak segera.
Katanya, syarikat terlibat juga diberi tempoh 14 hari untuk memastikan tiada pencemaran berulang atau tindakan undang-undang bakal diambil.
“Saya juga mendapati tidak ada sumbangan ganti rugi daripada pihak terbabit kepada kesemua pekebun yang mengalami kerugian. Mereka seolah-olah berkuasa penuh dan boleh bertindak tanpa mempedulikan rungutan pekebun,” katanya. – UTUSAN