MELAKA: Seorang Pembantu Penguatkuasa Kanan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 12 pertuduhan menerima suapan berjumlah RM8,500, sejak dua tahun lalu.
Tertuduh, Ahmad Jamil Md. Saru, 40, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.
Bagi pertuduhan pertama hingga ke-10, Ahmad Jamil secara rasuah telah menerima masing-masing suapan bulanan berjumlah RM500 tanpa sebarang balasan daripada sebuah syarikat pengangkutan yang mana tertuduh mengetahui mempunyai hubungan dengan kerja-kerja rasminya.
Kesalahan itu dilakukan di Maybank Malaysia Berhad dalam daerah Jasin pada 28 April 2020 hingga 3 Mac 2021.
PENJARA
Sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau kedua-keduanya sekali.
Bagi dua lagi pertuduhan seterusnya, tertuduh juga secara rasuah telah menerima suapan iaitu wang tunai berjumlah RM3,500 sebagai suatu dorongan untuk tidak mengambil tindakan penguatkuasaan ke atas lori-lori milik syarikat berkenaan.
Kesalahan itu dilakukan di Maybank Berhad dalam daerah Melaka Tengah pada 28 April 2020 hingga 12 Mac 2021.
Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama.
Sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana-mana yang lebih tinggi.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Irwanshah Abdul Samat yang turut mencadangkan jaminan sebanyak RM4,500 bersama syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah dan perlu melapor diri setiap bulan di Pejabat SPRM Melaka.
Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jumlah jaminan dikurangkan dengan alasan menanggung dua orang anak termasuk seorang anak orang kurang upaya (OKU).
Selepas mendengar hujahan kedua belah pihak, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,500 dan bersetuju dengan syarat tambahan dikemukakan pendakwaan.
Hakim menetapkan tarikh 15 September depan sebagai sebutan semula kes dan lantikan peguam. – UTUSAN