Pasangan kekasih sujud syukur terlepas hukuman gantung

Pasangan kekasih sujud syukur terlepas hukuman gantung

ANGGOTA polis Ahmad Uzair Che Darus (depan) dan Azilafatiha Ahmad  untuk mendengar keputusan pertuduhan bagi kes yang dihadapi mereka di Mahkamah Tinggi Kota Bharu, Kelantan hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Sepasang kekasih melakukan sujud syukur di dalam kandang tertuduh sejurus selepas Mahkamah Tinggi di sini hari ini, melepas dan membebaskan mereka daripada tiga pertuduhan berkait memiliki dan mengedar dadah jenis ganja seberat 1.7 kilogram, tiga tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Mohamad Abazafree Mohd. Abbas membuat keputusan tersebut selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap pertuduhan yang dihadapi oleh Ahmad Uzair Che Darus, 32, dan Azilafatiha Ahmad, 27.

Menurutnya, mahkamah memutuskan bahawa kedua-dua mereka dilepas dan dibebaskan terhadap kesemua pertuduhan itu tanpa perlu dipanggil untuk membela diri.

“Keputusan ini dijalankan selepas menilai tiga perkara termasuk akses penyewa lain terhadap sebuah rumah yang merupakan lokasi dadah tersebut ditemukan.

“Kemungkinan ada individu lain yang mempunyai akses terhadap rumah tersebut menggunakan kunci pendua. Dakwaan wujud individu lain itu kuat apabila sebuah televisyen di dalam rumah  berkenaan turut hilang semasa sebelum dan selepas pegawai polis merakam gambar di situ,” katanya.

Mengikut pertuduhan, Ahmad Uzair didakwa memiliki dadah berbahaya jenis kanabis seberat 8.5 gram.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara selama tempoh tidak lebih daripada lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Mengikut pertuduhan kedua, Ahmad Uzair dan Azilafatiha didakwa mengedar dadah berbahaya jenis kanabis seberat 1,609 gram.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) Akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan disebat tidak kurang 15 sebatan sekiranya tidak dikenakan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan ketiga, kedua-dua tertuduh dituduh memiliki dadah berbahaya jenis kanabis seberat 122.76 gram dan mereka didakwa mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(2) Akta yang sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Seksyen tersebut memperuntukan hukuman penjara seumur hidup atau untuk suatu tempoh tidak kurang daripada lima tahun dan juga akan dikenakan hukuman sebat tidak kurang daripada 10 sebatan jika disabitkan kesalahan.

Ketiga-tiga kesalahan itu dilakukan didakwa oleh Ahmad Uzair dan Azilafatiha di sebuah rumah di Jalan Tawang, Taman Mesira, Kampung Budi dekat Bachok kira-kira pukul 1 pagi pada 9 Januari 2019.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Norazlinawati Mohd.Arshad.

Azilafatiha diwakili oleh peguam Shaharuddin Mohamed dan Leftenan Kolonel (B) Azhar Ahmad manakala Ahmad Uzair diwakili peguam Zameri Mat Nawang.

Ibu kepada Azilafatiha, Asnah Omar,68, ketika ditemui pemberita berkata, dia bersyukur apabila anaknya dilepaskan daripada pertuduhan itu selepas meringkuk di Penjara Pengkalan Chepa di sini lebih tiga tahun lalu.

“Saya tahu Azilafatiha berkawan dengan tertuduh lelaki (Uzair) beberapa bulan sebelum mereka ditahan. 

“Saya bersyukur apabila doa dan solat hajat saya terhadap Azilafatiha akhirnya termakbul apabila dia dibebaskan hari ini,” ujarnya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya