KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) dijadual membentangkan Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) di Dewan Rakyat hari ini.
Ia bagi membolehkan akta berkenaan terus berkuat kuasa bagi tempoh lima tahun mulai 31 Julai 2022.
Sebelum ini, Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, langkah itu membolehkan polis melanjutkan tempoh penahanan individu yang ditangkap dan ditahan mengikut SOSMA sehingga 28 hari.
Menurut Aturan Mesyuarat, usul itu dicadangkan selepas selesai Rang Undang-Undang Antigangguan Seksual 21 dibahaskan.
Terdahulu, usul untuk melanjutkan tempoh kuat kuasa Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) untuk tempoh lima tahun lagi, gagal diluluskan.
Ini berikutan selepas undian belah bahagian dijalankan, hanya 84 Ahli Parlimen menyokong, manakala 86 Ahli Parlimen menentang.
Seramai 50 Ahli Parlimen pula tidak hadir. – UTUSAN