Pahang bakal ternak lembu wagyu di Tanjong Gahai, Lipis

Pahang bakal ternak lembu wagyu di Tanjong Gahai, Lipis

MOHD. Soffi Abdul Razak (tengah) menyampaikan replika cek dividen keuntungan kepada Mohd. Razaki Abd. Razak (kanan) di pekan Benta di Lipis, Pahang. - FOTO/HARIS FADILAH AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LIPIS: Kerajaan negeri bakal memulakan ternakan lembu baka wagyu di daerah ini dalam usaha menampung keperluan daging untuk pasaran akan datang.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Bioteknologi negeri, Datuk Seri Ir. Mohd. Soffi Abdul Razak berkata, kawasan ladang seluas 120 hektar di Tanjong Gahai di sini dikenal pasti antara lokasi kedua selepas di Bukit Kajang, Raub sebelum ini.

“Penternakan lembu wagyu ini menggunakan pemindahan teknologi dan kaedah yang diguna pakai daripada pengusaha di Jerman menerusi hasil lawatan saya bersama beberapa pegawai yang mewakili agensi kerajaan awal bulan lalu.

“Setelah melihat potensi pasaran daging ini, kita berhasrat mempelajari teknik penternakan untuk memelihara lembu ini menerusi kerjasama dengan pertubuhan pengusaha wagyu di sana serta pembabitan pengusaha tempatan untuk meningkatkan pengeluaran daging lembu yang berasal dari negara Jepun ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Kali ke-45, Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Benta di Dewan Balora Benta di sini. 

Sempena majlis tersebut, Mohd. Soffi turut menyampaikan bayaran dividen hasil keuntungan PPK Benta kepada Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah PPK Benta, Mohd. Razaki Abd. Razak yang mewakili ahli pertubuhan berkenaan serta bantuan kerajaan negeri kepada pesakit kronik dan mangsa banjir di kawasan Benta, Lipis.

Menurut Mohd. Soffi, kerajaan negeri juga mewujudkan Pertubuhan Lembu Wagyu seperti dilaksanakan di Jerman sebagai usaha kerjasama kepakaran antara penternak termasuk pasaran di negara ini.

Katanya, dalam rangka lawatan ke beberapa buah negara Eropah untuk mencari peluang dengan melihat sendiri teknologi pengeluaran makanan, kerajaan negeri begitu berminat dengan Jerman yang menggunakan sistem memperkasakan agro makanan.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benta selanjutnya menjelaskan, sebuah syarikat tempatan yang berpengalaman telah berminat untuk bekerjasama bagi menjayakan projek ternakan lembu baka Jepun itu. 

“Ternakan ini mampu berkembang selepas pengusaha di Raub dengan kerjasama MIG Dairy Fresh dan Jabatan Veterinar Pahang berjaya membuktikan projek ini apabila lembu wagyu boleh menyesuaikan dengan persekitaran, cuaca dan suhu yang sama di negara Jerman dan Jepun.

“Walaupun harga dagingnya bertaraf ‘kayangan’ yang boleh dijadikan pelbagai menu untuk juadah harian dan komersial, tetapi sudah ramai penggemar makanan berasaskan daging wagyu di negara ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya