JERANTUT: Masyarakat Orang Asli di negeri ini disaran supaya meninggalkan dominasi ‘survival’ hutan dengan mengubah cara hidup menerusi sektor pertanian di tempat masing-masing.
Timbalan Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) negeri, Ahmad Marzuki Salleh berkata, masyarakat itu boleh menceburi bidang pertanian terutama penanaman durian termasuk tanaman komersial lain yang diusahakan sebelum ini tanpa kebergantungan kepada hasil hutan semata-mata.
“Usaha kerajaan khususnya Jakoa sendiri menggalakkan kaum pribumi negeri ini terbabit sepenuhnya dalam sektor pertanian komersial supaya dapat mencongak pendapatan keluarga khususnya peningkatan taraf hidup sama dengan kaum lain.
“Orang Asli di pedalaman perlu berani berubah serta bersaing secara sihat dengan kaum lain dalam bidang pertanian bagi membantu kerajaan meningkatkan pengeluaran makanan termasuk ternakan yang mengalami defisit serta kenaikan harga sejak akhir-akhir ini,” katanya pada majlis perasmian Kursus Agronomi Tanaman Durian anjuran Jakoa dan Jabatan Pertanian Pahang (JPP) serta penyampaian sijil penyertaan kepada seramai 30 peserta Orang Asli seluruh negeri di dewan Hotel Darulmakmur bandar Jerantut, di sini hari ini.
Pada program itu, peserta Orang Asli dibawa melawat penempatan Kampung Orang Asli (KOA) Sungai Berjuang dan di tunjuk ajar tentang tanaman benih durian dan cantuman klon bermutu tinggi serta pembuatan crepe durian.
Ahmad Marzuki berkata, pertanian sinonim dengan masyarakat Orang Asli kerana bidang ini diwariskan oleh nenek moyang mereka zaman berzaman.
“Cumanya corak pertanian pindah di kawasan hutan dan penempatan perlu diubah secara tetap di kawasan tapak tertentu berdekatan penempatan masing-masing serta menjurus kepada kepada peluang pemasaran.
“Hasrat Jakoa supaya Orang Asli berubah sikap, lebih komited serta mencongak lebih banyak peluang dalam bidang pertanian tanpa berharap kebergantungan hasil hutan serta bantuan tertentu.
“Sebab itulah, Jakoa dengan kerjasama Jabatan Pertanian menggalakkan Orang Asli menanam durian antara buah-buahan tempatan mendapat pasaran baik termasuk produk makanan berasaskan buah ini yang telah mendapat perhatian orang luar,” katanya.
Seorang Peserta dari Kampung Gedik, Kuantan, Kamaruddiin Samad, 45, berkata, kursus itu cukup bermanfaat bagi Orang Asli yang mula menceburi tanaman durian khususnya tatacara pengurusan bermula dari tanaman benih sehinggalah pokok berbuah dan komersialan.
“Walaupun saya sudah menanam durian kampung seluas empat hektar 20 tahun lalu malah sudah berbaloi hasil pasaran buah ini, tetapi saya perlu belajar untuk memperoleh teknik baharu tentang cantuman benih klon lain serta peluang dalam industri makanan berasaskan raja buah ini,” ujarnya.
Jelasnya, dia kini sedang mempelajari untuk menghasilkan produk makanan seperti crepe durian antara peluang pertama untuk menambahkan lagi pendapatan selain pasaran buah durian pada musim ini. – UTUSAN