Operasi LRA Sungai Dua capai tahap maksimum 10 malam ini

Operasi LRA Sungai Dua capai tahap maksimum 10 malam ini

JASENI MAIDINSA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) akan terus meningkatkan pengeluaran di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua untuk mencapai tahap optimum 100 peratus (atau purata 988 MLD juta liter sehari) secepat mungkin.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ir. Jaseni Maidinsa berkata, PBAPP menyasarkan untuk mencapai objektif itu pukul 10 malam ini.

“Sedikit kelewatan berlaku dalam memulihkan bekalan di LRA Sungai Dua kerana isu kekeruhan air mentah di muka sauk air mentah LRA. 

“Bagaimanapun, pengguna di hujung paip agihan (HPA) dan kawasan tinggi di seluruh Pulau Pinang mungkin perlu menunggu beberapa jam tambahan untuk bekalan air sampai ke premis mereka pada tekanan biasa,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Operasi LRA di Sungai Dua terpaksa dihenti tugas selama empat jam semalam kerana kadar kekeruhan air mentah yang tinggi di Sungai Muda susulan banjir di Baling, Kedah.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, buat sementara waktu, air dari Empangan Mengkuang disalurkan ke LRA Sungai Dua dan loji-loji berhampiran bagi memastikan bekalan air dapat dipulihkan.

Menurut Jaseni, bekalan air untuk kira-kira 48 peratus pengguna air yang terjejas akibat henti tugas di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua telah dipulihkan sehingga pukul 10 pagi hari ini, manakala bekalan air di bahagian pulau (daerah Timur Laut sehingga Bukit Dumbar dan Sungai Pinang hingga ke pekan Balik Pulau) telah dipulihkan.

Katanya, bagi kawasan Seberang Perai pula, bekalan air dari Seberang Perai Utara (SPU) hingga ke Bukit Minyak juga telah dipulihkan.

“Sementara itu, kapasiti pengeluaran air LRA Sungai Dua yang merupakan LRA terbesar dan terpenting di Pulau Pinang telah mencapai 61 peratus pukul 8 pagi tadi,” katanya.

Tambah beliau, PBAPP terus memantau kekeruhan air yang diabstrak dari Sungai Muda dan akan terus melepaskan air dari Empangan Mengkuang untuk memastikan tahap kekeruhan air mentah yang selamat untuk LRA Sungai Dua.

“Tempoh gangguan dan pemulihan bekalan air di kawasan-kawasan yang terjejas berbeza dan bergantung kepada lokasi serta tekanan air di dalam sistem agihan bekalan air. Bekalan air kepada pengguna-pengguna yang terjejas akan disalurkan secara berperingkat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya