OldTown, Global Art jalin kerjasama strategik - Utusan Malaysia

OldTown, Global Art jalin kerjasama strategik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: OldTown Kopitiam dan Global Art menandatangani Memorandum Perjanjian Persefahaman (MoU) bagi menjalinkan kerjasama strategik dalam memberi inspirasi serta pendedahan kepada masyarakat umum berkaitan budaya dan nilai tradisional Malaysia melalui karya lukisan.

Menerusi MoU dinamakan “Art of OldTown” itu, OldTown bersetuju memberi peluang kepada karyawan di bawah Global Art untuk mempersembahkan karya seni mereka di dinding beberapa outlet sedia ada OldTown seperti OldTown Sri Rampai sebelum dipanjangkan ke lokasi-lokasi lain.

Ketua Pegawai Eksekutif OldTown Kopitiam, Dawn Liew berkata, usaha itu  memberi peluang serta sokongan kepada para karyawan untuk mempamerkan hasil karya mereka kepada pelanggan yang berkunjung ke cawangan OldTown.

Selain itu katanya, berkenaan merupakan antara inisiatif OldTown bagi menyegarkan jenama mereka serta mevariasikan strategi pemasaran untuk terus kekal relevan di dalam pasaran.

“Karya lukisan ini sangat bertepatan dengan objektif baru OldTown dalam misi penyegaran jenama iaitu menerapkan nilai tempatan di dalam setiap konsep rekaan dalaman premis dan ini adalah kali Ke-4 OldTown menukar konsep rekaan dalamannya sejak mula beroperasi pada tahun 2005,” katanya dalam kenyataan sempena menandatangani MoU itu.

Pada majlis itu, OldTown diwakili Liew sementara Globar Art diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mahair Goh. Turut hadir, Pengerusi Persatuan Francais Malaysia (MFA), Datuk Dr. Radzali Hassan.

Dalam pada itu, Radzali berkata, pihaknya menyokong penuh usaha itu dan berpendapat aktiviti sedemikian sangat kreatif dan inovatif untuk menarik minat pelanggan serta meningkatkan kesedaran jenama bagi kedua-dua jenama.

“Saya berharap agar usaha dan kerjasama sebegini di kalangan penggiat francais dapat dilaksanakan dengan lebih banyak lagi pada masa akan datang bagi menyokong pertumbuhan industri francais di negara ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya