OBJ kecewa tidak dibenar masuk rumah Datuk Maharajalela - Utusan Malaysia

OBJ kecewa tidak dibenar masuk rumah Datuk Maharajalela

AB. Wahab Azizul Hassan (kanan) meninjau keadaan Rumah Datuk Maharajalela dari laluan masuk ke rumah itu ketika melawat beberapa ikon bersejarah di Pasir Salak hari ini. - UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR SALAK: Orang Besar Jajahan (OBJ) Perak Tengah, Datuk Ab. Wahab Azizul Hassan kecewa apabila tidak dibenarkan masuk untuk meninjau Rumah Datuk Maharajalela yang sudah siap dibaik pulih ketika melakukan lawatan kerja ke beberapa lokasi warisan sejarah di sini hari ini.

Menurutnya, beliau gembira kerana rumah tokoh pejuang negara, Datuk Maharajalela di Kompleks Sejarah Pasir Salak di sini, yang terbiar lebih 10 tahun kini dilihat sudah siap proses baik pulih.

Katanya, namun beliau agak kecewa kerana tidak dapat masuk untuk meninjau lebih dekat rumah yang telah disiap dibaik pulih itu kerana tidak dibenarkan pengawal keselamatan yang bertugas.

Ini menyebabkan beliau hanya dapat melihat keadaan rumah tersebut dari jauh iaitu dari laluan masuk ke rumah tersebut.

“Alhamdulillah, kerajaan telah memulihkan tempat bersejarah ini, memang cantik, memang begitulah yang sepatutnya dilakukan. Cuma saya tak dapat nak masuk untuk melihat keadaan dalam rumah yang telah dibaik pulih kerana tidak dibenarkan masuk oleh pengawal keselamatan.

“Tak tahu apa sebabnya, patut saya nak tengok sampai ke bahagian dalam. Sepatutnya sebagai Orang Besar Jajahan saya boleh diberi melawat dan tengok rumah ini tapi OBJ sendiri nak masuk pun tak boleh, saya cuma nak tengok apa keadaannya. Kalau jadi macam ini, bagaimana saya nak buat laporan. Saya cuma melawat sahaja, ‘i have no authorities over anything‘, sebagai OBJ, saya boleh menegur saja,” katanya kepada pemberita selepas lawat ikon warisan sejarah itu.

Turut hadir, Pengerusi Persatuan Pembangunan Komuniti Perak Tengah, Nordin Abdul Malek.

Menurut Ab. Wahab, lain-lain rumah atau bangunan lama yang mempunyai nilai warisan di Pasir Salak perlu dibaik pulih untuk tarikan pelancong yang akan merancakkan lagi ekonomi setempat.

Katanya, rumah atau bangunan yang mempunyai nilai sejarah yang tidak diserahkan kepada kerajaan maka waris-warisnya patut terlibat sama untuk dipanggil bagi usaha proses pemulihan.

“Banyak bangunan atau rumah lama di sini, cuma hendak dibaik pulih atau tidak. Kalau dibiarkan akan reput. Satu lagi aspek kebersihan, ini dituntut oleh Islam sendiri, kalau bersih barulah pelancong datang. Itu dua perkara saya nak tengok macam mana boleh dilakukan, siapa yang boleh lakukan, saya akan buat laporan, siapa yang boleh buat,” katanya.

Sebelum ini, rumah Datuk Maharajalela di Kompleks Sejarah Pasir Salak di sini terbiar lebih 10 tahun namun kerajaan negeri mengumumkan peruntukan RM300,000 untuk kerja baik pulih rumah bersejarah itu yang berada dalam keadaan daif.

Mengikut perancangan, ia dibina semula mengikut reka bentuk asal rumah pahlawan Melayu itu yang terkenal dengan penentangannya terhadap penjajahan Inggeris lebih 100 tahun lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya