Naikkan gaji, kerajaan dahulukan kebajikan menteri

Tidak wajar naikkan gaji menteri, wakil rakyat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Parti Warisan (Warisan) melihat tidak wajar untuk kerajaan menaikkan gaji Ketua Menteri, menteri, pembantu menteri, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan anggota pentadbiran negeri pada masa ini.

Ketua Wira Warisan, Datuk Mohd. Azis Jamman berkata, ketika rakyat terbeban dengan kos sara hidup yang tinggi dan harga barangan yang meningkat, kerajaan seharusnya mendahulukan kebajikan rakyat dan bukannya mendahulukan kebajikan menteri.

Beliau berkata, Ketua Menteri dan menteri bukan hanya mempunyai peruntukan sebagai ADUN tetapi juga peruntukan daripada kementerian masing-masing.

Katanya, beliau hairan dengan tindakan kerajaan mahu segera menaikkan gaji Ketua Menteri, menteri, ADUN dan anggota pentadbiran negeri. Fokus seharusnya diberi bagi membantu rakyat yang berada dalam kesusahan.

“Jadi, saya ingin bertanya atas dasar apa kerajaan hari ini mendahulukan kebajikan menteri ketika rakyat terbeban akibat kenaikan harga barang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahli Parlimen Sepanggar itu berkata, Warisan menolak usul menaikkan gaji menteri, pembantu menteri dan ADUN kerana kenaikan ini tidak sesuai dilaksanakan pada masa ini.

Pemimpin yang prihatin sewajarnya berkongsi kesukaran rakyat dan bukannya mendahulukan diri mereka melebihi kepentingan rakyat.

Mohd. Azis berkata, kenaikan gaji bukanlah satu-satunya cara untuk membantu ADUN menghulurkan bantuan kepada rakyat yang berdepan kesulitan kerana kos sara hidup yang meningkat.

“Sekiranya kerajaan benar-benar prihatin, peruntukan tahunan harus diberikan kepada semua ADUN tanpa mengira parti bagi membolehkan dana tersebut disalurkan kepada rakyat di peringkat akar umbi di kawasan DUN masing-masing.

“Bantuan itu pasti akan meringankan bebanan rakyat semasa kita masih berhadapan dengan keadaan ekonomi global serta inflasi yang membelenggu negara dan dunia hari ini.

“Kita harus ketepikan dahulu perbezaan politik, sebaliknya mengutamakan kebajikan rakyat,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan rasional menaikkan gaji Speaker sebanyak RM5,000 memandangkan Speaker tidak memikul bebanan tugas yang berat seperti ADUN yang perlu turun ke kawasan dan berkhidmat kepada rakyat.

Jelas beliau, peranan Speaker hanya mempengerusikan persidangan DUN yang hanya diadakan beberapa kali dalam setahun namun, kenaikan gaji Speaker lebih tinggi berbanding kenaikan gaji ADUN yang meningkat sebanyak RM3,000.

Semalam DUN Sabah meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Enakmen Anggota Pentadbiran dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Saraan) 1981 bagi menaikkan emolumen atau gaji Ketua Menteri, pembantu menteri, ADUN dan anggota pentadbiran kerajaan negeri. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya