Sebenarnya, tak ada niat pun nak menyamakan atau membandingkan antara dua penyanyi ini.
Tetapi, sesekali tergerak rasa di hati untuk menegur sikit cara penyanyi baru, Nuha Bahrin.
Bukan apa. Sudah tular pun beberapa video di pelbagai platform media sosial yang memaparkan dirinya terkucil semasa menyanyi secara live dalam program-program TV.
Tularnya lagu itu sehingga mencapai jutaan jumlah tontonan di Youtube, itu semua kita sudah tahu. Iyalah, pujilah juga. Ia satu usaha yang bagus apatah lagi Nuha membuktikan kepada semua orang yang dia nak bangkit daripada kontroversi lamanya.
Kontroversi yang mana? Kontroversi dia didakwa tak boleh menyanyi live dulu. Tapi, sekali lagi dakwaan yang sama muncul bila dia tampil dengan lagu Casablanca duet bersama Naufal Azrin.
Nyanyian live Naufal, tak ada masalah setakat ini. Sempurna saja. Tapi Nuha? Banyak kali juga kes terkucil semasa menyanyi. Bak kata netizen, tak akanlah setiap kali itu nak bagi alasan gementar?
Pula itu, bila ada rakan media nak temu bual dan nak dapatkan penjelasan Nuha sendiri, ada yang dakwa dia seakan lebih selesa menyorok di belakang pengurusan. Tak nak komen, tak nak jawab. Teringat pula Cik Bunga pada kejadian yang lebih kurang sama dialami oleh Nabila Razali sebelum ini.
Cuma, beza dan bagusnya Nabila, dia tetap beri kerjasama pada media. Tetap usahakan untuk jawab setiap kali menerima pertanyaan dan menjelaskan kepada rakan media. Bab ini, memang kita puji Nabila. Cik Bunga pun tak faham kadang-kadang dengan tindak tanduk artis begini.
Macam Cik Bunga ada katakan sebelum ini, bergantung kepada cara dan kebijaksanaan artis itu menjawab. Bukan pada apakah soalan panas yang diberikan. Tak payah nak menyorok sangatlah.