KUALA KRAI: Seorang murid tahun tiga maut selepas dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux semasa melintas jalan di Kilometer 83 Jalan Kota Bharu-Gua Musang dekat Kampung Peria, di sini petang semalam.
Dalam kejadian pukul 2.40 petang itu, mangsa Mohammad Elis Adam Abdullah, 9, meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah.
Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintenden Suzaimi Mohamad berkata, siasatan awal mendapati Toyota Hilux yang dipandu lelaki berusia 66 tahun dari arah Gua Musang ke Kota Bahru.
“Setiba di lokasi, mangsa yang berada di bahu jalan sebelah kiri dipercayai dari kedai mahu pulang ke rumah yang berada di seberang jalan.
“Mangsa kemudian terus berlari dan melintas di hadapan pacuan empat roda tersebut. Disebabkan jarak terlalu dekat pemandu tersebut tidak sempat mengelak dan membrek lalu melanggar mangsa,” katanya dalam kenyataan semalam.
Suzaimi memberitahu, pemandu pacuan empat roda tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan.
Katanya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultan Ismail Petra, di sini, untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN