JERANTUT: Pentadbir Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Tembeling di sini menghargai murid yang mencatat kehadiran penuh dengan menyumbangkan sebuah basikal.
Dalam perhimpunan kelmarin, murid tahun dua, Nur Yasmeen Alias menerima hadiah sebuah basikal yang disumbangkan Guru Besar, Abd. Manaf Mat bagi menghargai kerajinannya ke sekolah tanpa ponteng sejak 21 Mac hingga 31 Mei tahun ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Abd. Manaf berkata, Nur Yasmeen bersama 12 orang murid sekolah itu yang mencatat kehadiran penuh perlu melalui cabutan bertuah untuk memperoleh hadiah basikal tersebut yang berharga RM270.
Katanya, cabutan bertuah dilakukan oleh Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Hamdan Ali dan tuah berpihak kepada Nur Yasmeen.
“Rakan-rakannya yang lain tidak bernasib baik dalam cabutan bertuah ini diberikan hadiah hamper sebagai penghargaan serta galakan untuk mereka terus rajin ke sekolah.
“Basikal merupakan sumbangan saya sendiri untuk menggalakkan murid di pedalaman Ulu Tembeling yang kebanyakannya hadir ke sekolah menaiki bot penambang dan berjalan kaki dari rumah melalui denai hutan,” katanya di sini semalam.
Menurut Abd. Manaf, SK Ulu Tembeling terletak di pedalaman Ulu Tembeling daerah ini yang jauhnya 130 kilometer dengan bandar Jerantut juga mempunyai kemudahan asrama desa yang dihuni 20 orang murid yang rumah mereka agak jauh dari sekolah.
“Pelbagai inisiatif dan hadiah untuk ‘memikat’ murid di sini supaya rajin ke sekolah bukan sahaja kehadiran penuh, tetapi juga sumbangan diberikan kepada kecemerlangan akademik, kokurikulum dan program pembinaan sahsiah mereka,” katanya.
Menurutnya, beliau akan membeli sebuah lagi basikal yang lebih mahal untuk hadiah kedatangan penuh yang akan diambil kira bermula 18 Julai hingga 30 September ini.
Abd. Manaf menambah, berasaskan moto sekolah ‘Terpencil bukan bererti tercicir’, pihak pentadbir, guru dan kakitangan sekolah terus berusaha untuk menajamkan minat seramai 56 orang murid Melayu dan 20 orang murid Orang Asli etnik Bateq di situ hadir ke sekolah dan mengikuti pelajaran menerusi pelbagai pendekatan inisiatif atau sumbangan serta bantuan PIBG termasuk pemimpin setempat dan agensi kerajaan. – UTUSAN