MOTAC patut pantau agensi haji, umrah

MOTAC patut pantau agensi haji, umrah

SEBAHAGIAN daripada 380 bakal jemaah haji yang terkandas di KLIA - MEDIA SOSIAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ketiadaan pemantauan daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dipercayai menjadi antara punca berlakunya insiden bakal jemaah haji terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Presiden Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA), Datuk Tan Kok Liang berkata, ini kerana kemungkinan tiada sebarang laporan yang perlu dikemukakan pihak agensi haji dan umrah kepada MOTAC.

Sebaliknya, beliau berkata, syarikat mengendalikan haji dan umrah itu ketika ini hanya dipantau agensi, tanpa sebarang penglibatan MOTAC.

“Agensi pakej haji tiada pemantauan terkawal daripada MOTAC, apabila ada kes bakal jemaah haji atau umrah kena tipu, baru kelam kabut. Sepatutnya perlu ada kawalan, sedangkan MOTAC yang keluarkan lesen.

“Contohnya kalau kita lihat Bursa Malaysia, Bank Negara Malaysia (BNM) akan paksa syarikat hantar laporan untuk dipantau. Jadi MOTAC harus buat pemantauan juga sebab agensi haji dan umrah ini ambil duit orang ramai sama seperti di bursa.

“Mesti ada pemantauan yang konsisten untuk tengok sama ada syarikat itu masih kukuh dari sudut kewangan, buat pemeriksaan dan lihat apa-apa aduan terhadap syarikat itu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.

Kira-kira 380 bakal jemaah haji terkandas di KLIA sejak 5 Julai lalu selepas gagal mendapat visa untuk berlepas ke Arab Saudi.

Bagaimanapun, Kedutaan Arab Saudi di Kuala Lumpur dalam satu kenyataan memaklumkan, kedutaan itu tiada kaitan dengan masalah 380 bakal jemaah haji terkandas itu.

Menurut Kok Liang, pemantauan yang konsisten perlu segera dilakukan oleh pihak MOTAC bagi mengelakkan kejadian sama terus berulang.

Katanya, ini kerana kementerian itu bertanggungjawab dalam mengeluarkan lesen kepada mana-mana agensi pelancongan.

“Jangan selalu apabila ada isu, cari alasan kenapa boleh jadi begini. Siapa yang keluarkan lesen, mereka harus bertanggungjawab.

“Pihak autoriti berkenaan harus kaji semula prosedur operasi standard (SOP) mereka untuk uruskan agensi pelancongan atau syarikat yang mengendalikan pakej haji dan umrah,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya