PONTIAN: Sepasang suami isteri memohon bantuan orang ramai untuk mengesan ibu kandung anak angkat yang diserahkan kepadanya pada 2017.
Menurut Azhar Omar, 42, bayi lelaki yang kini berusia sembilan tahun diserahkan kepadanya oleh seorang wanita warga negara Indonesia yang hanya dikenali sebagai ‘Mona’ yang bekerja di sebuah pusat hiburan semasa mereka menetap di Taman Air Biru, Pasir Gudang.
Isterinya, Jannati Sampra, 37, yang ketika itu mengambil upah menjaga kanak-kanak terkejut apabila didatangi oleh Mona dengan membawa bayi tersebut yang berusia dua minggu.
Katanya, Mona meninggalkan bayi tersebut yang dikenali sebagai Mohamad Syamil tanpa sebarang dokumen pengenalan diri yang lengkap dan terus menghilang selepas itu.
“Selama empat tahun tinggal di Pasir Gudang, saya cuba mengesan Mona tetapi tidak berjaya dan tidak mengetahui di mana dia berkerja, telefon bimbit juga tidak dapat dihubungi,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Walaupun tidak mengenali secara dekat Mona, namun isterinya berasa kasihan dengan permintaan daripada wanita itu supaya mengambil bayi tersebut sebagai anak angkat.
“Isteri saya serba salah dengan permintaan tersebut kerana dalam masa yang sama kami tiada anak setelah 10 tahun berkahwin,” ujarnya.
Mereka telah berusaha mencari Mona, namun hingga kini tiada petunjuk sama ada wanita tersebut masih bekerja di Pasir Gudang atau telah berpindah ke tempat lain atau pulang ke Indonesia.
Mohamad Syamil yang kini berada dalam tahun 3 Sekolah Kebangsaan (SK) Pulai Sebatang dengan status pelajar bukan warganegara.
Azhar berharap supaya status itu dapat ditukar sebagai warganegara menerusi pengambilan anak angkat secara sah bagi membolehkan dia belajar ke peringkat lebih tinggi.
Orang ramai yang mengetahui di mana Mona berada diminta menghubunginya menerusi talian 017-7935884 atau ke alamat T/L 42/12, Parit Baran, Kampung Sungai Nyiur, Pulai Sebatang, Pontian. – UTUSAN