JOHOR BAHRU: Seorang pencuci kapal kelihatan sugul ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Johor Bahru, di sini hari ini atas dua pertuduhan membunuh isteri dan anaknya di Kampung Bakar Batu, 4 Julai lalu.
Tertuduh, Mohamad Amir Nazri Mohd. Adam, 24, seperti terpinga-pinga ketika pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret, Mohd. Zulhilmi Ibrahim.
Mohamad Amir Nazri kemudiannya mengangguk faham selepas pertuduhan yang dibacakan, namun tidak sebarang pengakuan direkodkan.
Kelihatan adik lelaki tertuduh ditenangkan oleh ahli keluarganya di dalam kamar bicara selepas pertuduhan dibacakan.
Bagi pertuduhan pertama, Mohamad Amir didakwa membunuh isterinya, Hajar Nursyahirin Rosman, 26, di sebuah rumah di Jalan Dewasa, Kampung Bakar Batu, di sini.
Tertuduh juga didakwa membunuh bayi lelakinya, Hans Mohamad Thaqeef, dua bulan lapan hari, di lokasi yang sama.
Dia dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Kampung Bakar Batu, Johor Bahru pada pukul 11.30 pagi dan 11.40 pagi, 4 Julai lalu.
Dia didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, jika disabitkan kesalahan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Qayyum Ramlan, Muhammad Syafiq Mohd. Ghazali dan Danial Munir, manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.
Mohd. Zulhilmi kemudian memerintahkan tertuduh dibawa ke Hospital Permai Johor Bahru, di sini bagi menjalani pemeriksaan kesihatan mental hari ini.
Mahkamah menetapkan 18 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula bagi mendapatkan laporan bedah siasat, asid deoksiribonukleik (DNA) dan keputusan psikiatri.
Pada 4 Julai lalu, tertuduh diberkas polis selepas bertindak mengelar isteri dan bayinya sehingga mati di Kampung Bakar Batu.