MOF selesaikan segera isu guru KAFA - Pemuda Pas Kelantan

MOF selesaikan segera isu guru KAFA – Pemuda Pas Kelantan

KERATAN laporan Utusan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Dewan Pemuda Pas Kelantan mahu Kementerian Kewangan (MOF) segera menyelesaikan isu penangguhan kemudahan cuti bersalin berelaun penuh kepada guru wanita yang berkhidmat untuk Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA).

Ketuanya, Mohamad Kamal Mohamed berkata, penangguhan itu dilihat tidak sesuai untuk dilaksanakan kerana melibatkan isu perlantikan tidak bersandarkan kepada skim perkhidmatan awam atau skim perkhidmatan pendidikan dan ia bersifat teknikal.

Katanya, penyelesaian boleh sahaja dibuat termasuk cadangan menambah skop tugasan guru KAFA dengan menyediakan skim perkhidmatan lebih baik.

“Semua pihak perlu segera ke meja rundingan dan membuat titik penyelesaian mengikut lunas undang-undang demi kepentingan guru-guru KAFA. Hal ini kerana tugasan mendidik bukanlah kerja mudah dan tidak seharusnya dibezakan dengan guru lain,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

MOHAMAD KAMAL MOHAMAD

Mohamad Kamal memberitahu, guru-guru KAFA perlu diberikan hak mereka selain menambah baik perkhidmatan untuk perkembangan pendidikan agama anak-anak Melayu Islam. 

MOF pada 6 Julai lalu mengeluarkan pandangan bahawa pelaksanaan kemudahan bersalin tersebut adalah tidak sesuai buat masa ini kerana kedudukan status perjawatan guru KAFA.

Justeru, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengeluarkan arahan penangguhan kemudahan cuti bersalin berelaun penuh kepada guru KAFA wanita pada 21 Julai lalu. 

Sebelum ini, Jakim mengeluarkan Peraturan-peraturan Pelaksanaan Program KAFA Baharu Tahun 2022 untuk diguna pakai semua Agensi Pelaksana KAFA bermula Januari tahun ini.

Antara perkara baharu yang dimasukkan dalam peraturan tersebut ialah kemudahan cuti bersalin berelaun penuh yang diberikan kepada guru KAFA wanita sekali dalam tempoh kontrak yang sebelum ini tidak pernah diberikan.

Keputusan ini dibuat sebagai salah satu usaha dan inisiatif Jakim dalam menjaga kebajikan golongan guru KAFA wanita yang bersalin. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya