Lesen pengilang terlibat dengan penyeludupan minyak masak subsidi akan ditarik - Utusan Malaysia

Lesen pengilang terlibat dengan penyeludupan minyak masak subsidi akan ditarik

ALEXANDER Nanta Linggi bersama Ahmad Faizal Azumu melihat barangan yang dijual ketika melakukan tinjauan dan pemantauan harga di Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan akan menarik balik lesen operasi pengilang pembungkusan minyak masak bersubsidi jika mereka didapati terlibat dengan aktiviti penyeludupan ke negara jiran.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, tindakan itu sebagaimana peruntukan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

“Kalau kita dapat bukti, sebenarnya ada undang-undang tertentu yang boleh kita kenakan kepada mereka (pengilang) dan satu daripadanya ialah boleh digantung operasi dan penarikan lesen.

“Bagaimanapun, tindakan yang bakal dikenakan itu bergantung kepada sejauh mana kesalahan dilakukan pengilang,” kata beliau selepas meninau dan memantau harga bersama Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu di sebuah pasar raya di sini hari ini.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan kegiatan mem­bungkus semu­la minyak masak peket subsi­di dipercayai punca utama be­ka­lannya semakin ber­kurangan da­lam pasaran sehingga menim­bulkan kemarahan rak­yat yang terhimpit dengan kos sara hidup tinggi.

Sindiket mula ligat mencari keuntungan berganda termasuk membotolkan mi­nyak masak paket sebelum dijual dengan harga tanpa subsidi dan kegiatan itu dipercayai melibatkan syarikat-syarikat membungkus mi­nyak masak bersubsidi selepas manipu­lasi tuntutan daripada kerajaan.

Ketirisan berkaitan minyak masak bersubsidi itu juga disumbang oleh aktiviti sindiket menyeludup ke negara jiran terutama Thailand kerana untung diperoleh lebih sekali ganda.

Dalam hal itu, Alexander berkata, pihaknya bekerjasama dengan Kementerian Belia dan Sukan selain sudah berhubung dengan agensi lain seperti polis dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi membanteras ketirisan terbabit.

“KPDNHEP telah memanggil mesyuarat bersama polis dan ATM seterusnya akan disusuli dengan proses libat urus lebih kerap. Jadi, kita harapkan bantuan agensi penguatkuasaan dalam membantu hal ini,” jelasnya. 

Alexander turut mengesahkan beberapa tangkapan telah dibuat pihaknya berkaitan kes ketirisan minyak masak di sempadan berdasarkan pemantauan dan siasatan sebelum ini.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya