MHO dakwa waris Sulu sedang aktif rekrut rakyat Sabah

MHO dakwa waris Sulu sedang aktif rekrut rakyat Sabah

HISHAMUDDIN HASHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) mendakwa waris kumpulan Sulu kini sedang aktif merekrut rakyat Sabah terutamanya mereka yang berada di Lahad Datu. 

Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, perkara itu dimaklumkan sukarelawan pertubuhan itu yang berada di negeri tersebut. 

Katanya, modus operandi dijalankan dengan memberikan dokumen pengenalan diri yang dipercayai bagi Kesultanan Sulu dan juga perakuan taat setia individu penduduk Sabah kepada Kesultanan Sulu.

“Hantaran WhatsApp tersebut yang mengandungi gambar yang berbentuk seakan dokumen identiti diri bagi Kesultanan Sulu dan juga perakuan taat setia individu-individu penduduk Sabah kepada Kesultanan Sulu. 

“Gambar-gambar tersebut mengandungi dokumen identiti diri yang tertulis, ‘Karna’ agama Islam bangsaku baugbugan, hula’ku kalasahan’ dan ‘Sultan Bantilan Muhammad Muizuddin II Bin Datu Wasik – Aranan’. Terdapat juga cap jari kanan dan kiri pemilik dokumen identiti tersebut. 

“Selain itu, dokumen identiti diri yang tertulis, ‘Sulu Sultaniyah Darul Islam tanda’ karaayatan tausug’, maklumat pemilik dokumen diri dan nombor pengenalan diri; dan dokumen identiti diri yang tertulis, ‘Soolo (Sulu) Sultanate Darul Islam Nation (Tausug Nation Identification Card), maklumat pemilik dokumen diri dan nombor pengenalan diri. 

“Gambar tersebut juga mengandungi, dokumen identiti diri yang tertulis, ‘Karayatan Tausug Citizen (Sin Sultaniyah Sooloo Darul Islam)’, cap jari kanan dan kiri pemilik dokumen tersebut dan nombor pengenalan; dokumen yang tertulis ‘Soolu (Sulu) Sultanate Darul Islam’ dan ‘Birth Certification’; dan gambar yang menunjukkan seakan dokumen perakuan taat setia kepada Kesultanan Sulu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Mengulas lanjut, Hishamuddin berkata, MHO menyeru kepada semua pihak, warga tempatan Sabah termasuklah warga individu tiada warganegara (stateless) dan migran untuk berpihak serta memberikan taat setia kepada Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong dan Yang Dipertua Negeri Sabah.

Katanya, ini kerana kegiatan mana-mana pihak atau individu untuk mengikrarkan taat setia kepada waris kumpulan Sulu dan memberikan dokumen pengenalan diri yang dipercayai kepunyaan waris tersebut adalah jelas suatu kesalahan menderhaka di bawah Kanun Keseksaan.

“Pihak MHO dengan ini mengecam segala usaha dan kegiatan yang dilakukan oleh mana-mana pihak dalam merekrut kumpulan untuk memberikan taat setia kepada anasir asing khususnya Kesultanan Sulu. Pihak MHO juga mengecam usaha dan kegiatan untuk bersekongkol, menyokong dan/atau memihak dengan kumpulan penceroboh, pengancam keselamatan dan/atau pengganas.

“Pihak MHO seterusnya menyeru semua pihak untuk menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa berkenaan kegiatan mana-mana individu, gerakan atau kumpulan yang cuba merekrut dan/atau pihak yang cuba menceroboh dan/atau mencemarkan kedaulatan Malaysia dan Sabah.

“Pihak MHO juga akan mengerahkan sukarelawan-sukarelawan MHO khususnya yang berada di Sabah untuk membuat laporan polis berkenaan hantaran Whatsapp tersebut dan menyeru pihak polis untuk menyiasat gambargambar yang berbentuk seakan dokumen identiti diri bagi Kesultanan Sulu dan juga perakuan taat setia individu-individu penduduk Sabah kepada Kesultanan Sulu tersebut. 

“Pihak MHO juga ingin menggesa dan meminta kerjasama orang ramai yang mengetahui dan/atau menerima hantaran Whatsapp tersebut untuk turut serta membuat laporan polis berkenaan isu yang boleh mengancam kedaulatan Malaysia dan Sabah ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya