JOHOR BAHRU: Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menyambut baik pelaksanaan Menu Kasih Siswa Keluarga Malaysia dengan menyediakan juadah serendah RM3.50 bagi membantu meringankan beban pelajar.
Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr. Ahmad Fauzi Ismail berkata, jualan menu berkenaan telah mula dilaksanakan pada 11 Julai lalu di tiga kafeteria terpilih, iaitu The Kave di Arked Cengal, Pak Lah Cafe U9 Scholar Inn dan The Ohsemstation di Arked N24.
“Pelaksanaan program ini tepat pada masanya terutama dengan peningkatan kos sara hidup sejak kebelakangan ini. Dengan harga RM3.50 untuk pelbagai pilihan menu, inisiatif ini melegakan banyak pihak, bukan sahaja penuntut malah juga kakitangan.
“Bantuan seumpama ini akan membolehkan penuntut menumpukan sepenuh perhatian terhadap pengajian tanpa memikirkan perbelanjaan tinggi untuk membeli makanan harian mereka,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
UTM menerusi Jabatan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar, Jabatan Timbalan Naib Canselor Pembangunan dan Majlis Perwakilan Mahasiswa sentiasa komited untuk memastikan kebajikan penuntut terpelihara.
“UTM juga sentiasa membuat pemantauan kawalan harga dan kualiti makanan yang ditawarkan. Amat penting untuk memastikan pelajar bukan sahaja menikmati harga makanan berpatutan, malah hidangan tersebut mengandungi nutrisi yang lengkap,” jelasnya.
Ahmad Fauzi memberitahu, maklum balas yang diterima daripada pelbagai pihak amat positif dan pihaknya berharap komuniti mahasiswa, khususnya di UTM akan memanfaatkan inisiatif yang dilaksanakan Kementerian Pengajian Tinggi itu. – UTUSAN