Menggilap gemala sakti di DFP - Utusan Malaysia

Menggilap gemala sakti di DFP

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“Semestinya saya berasa kecewa kerana kami telah berlatih bersungguh-sungguh selama sebulan lebih, malangnya saya tidak sihat pada malam persembahan,” itu antara luahan Datuk Awie setelah selesai mengadakan persembahan pada malam kedua (terakhir) Konsert Fabulous Friday Wings yang berlangsung di Dewan Filharmonik Petronas (DFP).

Tidak dinafikan apa yang dituturkan oleh Awie itu ada benarnya kerana ketika penulis hadir pada malam pertama konsert, beliau sudah menyatakan masalah yang dihadapi ketika itu, malah pemain gitar utama, Edrie Hashim turut mengalami masalah kesihatan sehinggakan setiap kali waktu break (setelah selesai tiga lagu) dia akan duduk seketika di kerusi berhampiran pentas.

Persembahan Wings yang berlangsung di DFP ini amat dinantikan peminat rock tanah air kerana selain dianggap sebagai ‘band otai’ yang punya ratusan koleksi lagu ‘berhantu’, mereka juga dilabel sebagai kumpulan yang eksklusif kerana jarang mengadakan persembahan pentas. Dan yang paling mengujakan apabila DFP merupakan pentas untuk Wings beraksi buat pertama kali.

Awalnya perancangan untuk mengadakan konsert ini adalah satu malam sahaja (15 Julai) namun sambutan luar biasa yang diberikan peminat menyebabkan tiket habis dijual dalam masa 15 minit.

Berikutan itu pihak penganjur, Shiraz Projects Sdn. Bhd. mengambil keputusan untuk melanjutkan satu malam lagi hari persembahan.

Berbalik kepada persembahan Wings pada malam itu. Sejujurnya penulis sudah lali dengan setiap persembahan mereka sebelum ini.

Dari showcase yang berskala kecil seperti di pentas Planet Hollywood, Hard Rock Café, Istana Budaya dan sebagainya sehinggalah di pentas stadium yang memuatkan puluhan ribu penonton.

Namun yang membezakan pada kali ini apabila dua ahli baharu, Edrie dan Syam diserapkan sebagai anggota kumpulan untuk memberi ‘kuasa bunyi’ yang lebih padu dan bertenaga pada persembahan kali ini.

Sebelum ini pernah berlaku sedikit perdebatan di media sosial apabila segelintir peminat mula mempertikai dan membandingkan peranan Edrie dengan Joe bekas pemain gitaris Wings terdahulu.

Memetik kata-kata Awie sebelum ini, Wings hari ini ingin menampilkan muzik, bunyi dan persembahan lebih matang. Dan jika mereka masih mengekalkan dengan yang lama bermakna Wings akan sentiasa kekal di takuk lama. Katanya, ini adalah barisan mantap yang diperkenalkan.

Edrie Hashim pula bukanlah asing dalam keluarga Wings. Sebelum ini sudah banyak kali dia berkongsi pentas bersama mereka dan mengambil alih posisi pemain gitar utama sejak pengunduran Joe.

Kehebatan skillnya tidak perlu disangkal memandangkan pengalaman luasnya dalam industri muzik selaku pemain gitar dan komposer sudah cukup membuktikan kehebatan anak kelahiran Taman Keramat, Kuala Lumpur ini.

Syam yang pernah menganggotai Wings sewaktu album pertama, Belenggu Irama (1987) juga tidak kekok dan berjaya membuktikan keupayaannya.

Kolaborasinya bersama Edrie sedikit sebanyak ‘menyuntik nafas dan jiwa’ pada setiap lagu yang dipersembahkan. Keistimewaan yang cukup ketara apabila mereka bergilir-gilir menjadi lead untuk setiap lagu tertentu.

Melalui pengamatan penulis kebanyakan karya yang dipersembahkan adalah killer songs Wings sebelum ini, namun beberapa lagu secara fizikalnya telah diberi nafas baharu yang agak ketara, contohnya seperti lagu Taman Rashidah Utama, Di Ambang Wati dan Harapan.

Keberadaan Eddie (bass) dan Black (drum) yang sudah sinonim selama puluhan tahun bersama kumpulan ini ibarat pelengkap sempurna yang tidak perlu dipertikaikan.

Naskhah kumpulan ini bukan sahaja sudah sebati buat mereka, malah selama ini merekalah antara tulang belakang yang terus mengukuhkan jenama Wings.

Lagu Harapan yang diberi nafas baharu pada malam itu sedikit mengecewakan penulis kerana tidak menonjolkan solo bass Eddie pada sesi intro dan outro, kerana hakikatnya petikan solo bass itulah yang menjadi ‘kunci’ keistimewaan lagu yang bernada tinggi itu. Tetapi mungkin mereka ada jawapan tersendiri.

Kredit sepenuhnya penulis berikan kepada Awie yang berjaya membawa Wings terbang tinggi pada malam itu. Walaupun berdepan masalah kesihatan tetapi komitmen yang diberikan cukup luar biasa. Sebanyak 16 lagu dipersembahkan sudah cukup membuktikan kemampuan rockers sepanjang zaman ini.

Bukan ingin memuji, malah rata-rata peminat yang hadir pastinya mengakui kerja keras yang beliau berikan. Gelagat dan selang seli jenakanya dalam setiap persembahan bukan sahaja mencuit hati, malah sekali gus membuatkan peminat terlupa seketika dengan masalah dihadapinya.

Penulis melihat rata-rata yang hadir pada malam itu cukup terhibur dan enjoy dengan persembahan mereka.

Selain turut menyanyi bersama, ada segelintir penonton yang tidak segan silu melepaskan gian head banging, tidak hairanlah mereka sanggup membelanjakan ratusan ringgit untuk konsert seperti ini.

Lagu Lubuk Pusing turut diperdengarkan pada malam itu, namun peminat dilihat kurang memberi respon berbanding senarai lagu popular lain. Mungkin lagu yang dipetik dari album Naga Kramat pada tahun 2002 ini kurang popular berbanding lain.

Sekalung penghargaan kepada Awie dan anggota Wings kerana tidak memungkiri janji memberikan persembahan berbaloi pada konsert kali ini.

Bak kata Awie, sakit bukanlah alasan untuk tidak memberikan yang terbaik, namun jika terdapat kekurangan pada mana-mana bahagian, beliau memohon maaf kerana sudah cuba buat sehabis baik.

Dalam konsert yang berdurasi selama dua jam ini Wings mempersembahkan 16 lagu iaitu, Satelit Puaka, Kuburkan Aku, Lubuk Pusing, Mabuk Tujuh Lautan, Di Ambang Wati, Hukum Karma, Jerangkung Dalam Almari, Jumpa Hilang, Sayap Ilusi, Sekeping Kertas Bermaruah, Taman Rashidah Utama, Harapan, Opera Hidup, Bernafas Dalam Lumpur, Peronda Jaket Biru dan sebuah lagu bonus, Sejati.

PENULIS ialah Ketua Unit Media Mulia TV (MMTV)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya