JOHOR BAHRU: Gara-gara memandu secara melulu sehingga mengakibatkan kemalangan jalan raya, seorang mekanik dipukul tiga lelaki dalam satu kejadian di Lebuhraya Pasir Gudang, di sini kelmarin.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, kejadian pukul 6.05 petang itu berlaku selepas kenderaan dipandu mekanik berusia 25 tahun tersebut melanggar sebuah motosikal.
“Dalam masa sama, sebuah kenderaan dinaiki tiga lelaki menyaksikan kemalangan tersebut yang berlaku di depan mereka.
“Ketiga-tiga lelaki berusia antara 25 tahun hingga 31 tahun itu kemudian memukul mekanik berkenaan,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.
Menurut Raub, ketiga-tiga lelaki itu dipercayai bertindak sedemikian kerana berang dengan perbuatan mekanik terbabit yang memandu secara melulu dan berbahaya.
“Ketiga-tiga suspek tidak mengenali pemandu kereta dan penunggang motosikal yang menjadi mangsa kemalangan,” katanya.

Terdahulu, tular dalam media sosial video berdurasi 33 saat yang memaparkan kejadian tiga lelaki berkenaan memukul mekanik terbabit.
Kes kemalangan itu disiasat di bawah Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalulintas Jalan 1959 (Peraturan 10 LN 166/59), manakala kes pukul di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang mana jika sabit kesalahan boleh dipenjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya. – UTUSAN