JOHOR BAHRU: Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Johor menawarkan pakej percutian domestik serendah RM100 bagi dua hari satu malam sempena penganjuran Johor MATTA Fair.
Timbalan Pengerusi MATTA Johor, Kathryn Lee berkata, promosi berkenaan ditawarkan hasil kerjasama pihaknya dengan Persatuan Hotel Bajet (MyBah).
“Pakej percutian serendah RM100, RM200 ini kita tawarkan kerana memahami keadaan ekonomi semasa rakyat Malaysia, namun dalam masa sama terdapat permintaan untuk meluangkan masa bercuti bersama-sama keluarga.
“Selain itu, buat pertama kalinya kemasukan ke Karnival MATTA Johor ini dibuat secara percuma. Kebiasaannya bayaran kemasukan sebanyak RM3 akan dikenakan kepada pengunjung dewasa,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat MATTA Johor, di sini hari ini.
Kathryn berkata, ‘Johor MATTA Fair’ akan diadakan di dua lokasi, iaitu di pusat beli-belah Summit Mall, Batu Pahat pada 23 dan 24 Julai ini dan Pusat Konvensyen Antarabangsa Austin, Johor Bahru mulai 5 hingga 7 Ogos depan.
“Karnival ini akan melibatkan 80 pempamer yang terdiri daripada agensi pelancongan dari seluruh negara yang menawarkan pelbagai pakej percutian menarik sama ada di peringkat domestik mahupun antarabangsa.
“Kita menjangkakan lebih 5,000 pengunjung akan hadir dengan sasaran jualan pelbagai pakej pelancongan bernilai RM15 juta,” ujarnya.
Kathryn turut menasihatkan orang ramai memilih agensi pelancongan yang berdaftar kerana bukan sahaja lebih selamat dan terjamin, malah lebih murah berbanding percutian secara walk-in. –UTUSAN